Pemain Harimau Muda, Mohamad
Nasir Basharudin (tengah) dan Ashri Chuchu meraikan kejayaan Malaysia
menumpaskan Vietnam 2-1 di Stadium Zeyar Thiri, Nay Pyi Taw, Myanmar semalam,
sekali gus melangkah ke separuh akhir Sukan SEA 2013.
NAY PYI TAW - Kemenangan 2-1
Harimau Muda ke atas Vietnam bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir Sukan SEA
Myanmar ke 27 umpama jawapan terbaik terhadap keraguan yang dilemparkan Menteri
Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Walaupun tidak mahu membidas
terhadap apa yang diperkatakan oleh Khairy, jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong
Kim Swee, mengingatkan mereka masih berada dalam misi mempertahankan pingat
emas.
Tambahnya, Harimau Muda masih
mampu melakukan yang terbaik di Sukan SEA kali ini biarpun kehilangan ramai
pemain utama seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Junior Eldstal dan Syahrul
Azwari.
''Kita semua tahu situasi
mengenai pasukan saya, bukannya saya mahu memberikan sebarang alasan tetapi
kita berada di sini tanpa tujuh tonggak utama.
''Namun, kita berjaya juga mara
ke separuh akhir dan dalam masa sama mengharapkan sokongan semua pihak.
''Satu perkara yang saya mahu
ingatkan, kita belum tewas di Sukan SEA dalam 14 perlawanan dan kejayaan layak
ke separuh akhir membuktikan kita masih berada di atas landasan yang betul
untuk memenangi pingat emas, " katanya pada sidang akhbar selepas
perlawanan Malaysia dan Vietnam, semalam.
Khairy dalam Utusan Malaysia
semalam meragui peluang pasukan negara untuk mempertahankan pingat emas pada
Sukan SEA kali ini.
Semuanya berpunca daripada aksi
goyah ketika menentang Singapura yang menyaksikan skuad negara terpaksa
bergantung kepada jaringan penyamaan Mohd. Rozaimi Abd. Rahman pada minit
terakhir permainan.
Mengulas kemenangan pasukannya,
dia berkata, kegagalan Vietnam mengambil kesempatan terhidang memberikan
keyakinan kepada para pemainnya untuk cuba mendapatkan kemenangan.
''Sudah tentu apabila Vietnam
gagal menjaringkan gol dan banyak percubaan dapat diselamatkan oleh penjaga gol
(Mohd. Izham Tarmizi), memberikan satu kesempatan kepada kita.
''Semua pemain saya menunjukkan
satu sikap yang cukup positif walaupun kebanyakan pemain saya mula menunjukkan
tanda keletihan kerana terpaksa bermain dalam selang satu hari.
''Taktikal saya cukup mudah,
saya tahu Vietnam amat memerlukan kemenangan dan kita perlu bermain secara
serangan balas.
''Selagi lawan tidak
mendapatkan jaringan, itu bermakna peluang kita mendapatkan jaringan cukup
tinggi dan Ahsri Chuchu serta D. Saarvindran berjaya menjalankan tanggungjawab
mereka dengan baik untuk mendapatkan gol, " katanya. - UTUSAN
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131218/su_01/Kim-Swee-jawab-kritikan#ixzz2nmBkNxkG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment