Ad

Sunday, 15 December 2013

Hoki lelaki benam Vietnam 13-0

 NAY PYI TAW - Pasukan hoki lelaki negara tidak mempunyai masalah untuk membelasah Vietnam 13-0 pada perlawanan pertama mereka di Stadium Hoki Theinphy, Yangon, semalam.

Selaku gergasi di rantau ini, jelas sekali Vietnam bukan tandingan buat Malaysia apabila ketinggalan lima gol pada babak pertama sebelum skuad bimbingan Tai Beng Hai menambah lapan lagi gol pada separuh masa kedua perlawanan.

Malaysia berada di depan menerusi jaringan Azreen Rizal Nasir seawal minit kedua, sementara tiga pemain masing-masing menjaringkan dua gol iaitu Dedi Aryadi Jumaidi pada minit ke-17 dan 49, Amin Rahim (20, 36) dan Dangerous Lee (45, 62).

Skuad negara mendominasi perlawanan dengan mempamerkan rentak agresif dan pergerakan kemas untuk mencipta kemenangan besar dengan Vietnam menghadiahkan gol sendiri pada minit ke-63.

Sementara satu gol dihasilkan masing-masing oleh Muhammad Azami Adabi pada minit ke-25, Muhammad Aminudin Mat Zin (23), Amir Farid Ahmad Fuzi (37), Azlan Misron (67) dan Ahmad Kazamirul Nasrudin Jamaludin (69).

Menurut, Beng Hai, kemenangan itu memang sudah dijangkakan dan mahu anak buahnya mengekalkan momentum pada perlawanan seterusnya.

"Paling penting kita meraih tiga mata dan kita perlu konsisten selepas ini untuk memastikan laluan ke ke peringkat akhir dengan lebih mudah," katanya.

Skuad negara dijadualkan menentang Thailand hari ini diikuti Singapura pada Rabu dan melengkapkan jadual pusingan awal dengan bertemu pasukan tuan rumah Khamis ini. - UTUSAN

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131216/su_03/Hoki-lelaki-benam-Vietnam-13-0#ixzz2nb48pJS1 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment