Ho Mun Hua mempamerkan
pingat-pingat yang dimenanginya termasuk sebutir gangsa pada hari terakhir
acara wusyu di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, semalam. Dia yang
juga juara dunia gagal meraih sebarang pingat emas.
NAY PYI TAW - Tiada kilauan emas
di gelanggang wusyu pada hari terakhir acara itu apabila Ho Mun Hua hanya
termampu meraih pingat gangsa dalam acara Nangun Lelaki di Stadium Tertutup
Wunna Theikdi dekat sini, semalam.
Mun Hua mencatat 9.67 mata,
ketinggalan 0.03 mata di belakang pemenang pingat emas, Pham Quoc Kham dari
Vietnam sementara Soe Kyaw dari Myanmar, mendapat perak dengan meraih 9.69
mata.
Dua lagi wakil negara dalam
acara gabungan taijiquan dan taijijian, Loh How Choon dan Loh Jack Chang cukup
menghampakan apabila sekadar menamatkan cabaran di tempat kelima dan kelapan.
Kegagalan Mun Hua itu
meletakkan pasukan wusyu negara menutup cabaran dengan tiga pingat emas, lima
perak dan enam gangsa daripada 21 acara yang disertai.
Namun, Mun Hua pasti menjadi
antara atlet wushu paling kecewa kerana tiada emas mampu dibawa pulang walaupun
hadir dengan reputasi tinggi selaku juara dunia.
Penyertaan pertamanya di Sukan
SEA 2013 kali 27 Myanmar sekadar memenangi tiga pingat perak dan satu pingat
gangsa, semuanya gara-gara pemarkahan yang terlalu condong kepada tuan rumah
dalam acara lelaki.
Dia yang ditemui berkata, dia
berasa sedikit kecewa kerana telah memberikan segalanya tanpa melakukan
sebarang kesilapan dalam mana-mana kategori yang disertainya namun masih gagal
memenangi emas.
''Dalam acara terakhir hari
ini, saya telah mencuba sedaya upaya bagi menang cuma lawan saya juga beraksi
dengan baik pada hari ini.
''Saya terpaksa akur dengan
keputusan juri dan menganggap tiga perak serta satu pingat gangsa yang saya
menangi pada hari ini sebagai satu motivasi untuk saya bekerja lebih keras
selepas ini," katanya.
Kejayaan meraih tiga pingat
emas yang dimenangi pada Sukan SEA Myanmar bermakna pasukan wusyu negara
mengulangi pencapaian yang dilakukan di Sukan SEA Indonesia dua tahun lalu. -
Utusan
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131211/su_03/Juara-dunia-kempunan-emas#ixzz2nAer2qwL
Setiap tahun mesti tuan rumah ambil kesempatan hingga juara dunia pun boleh kalah. Sampai bila perkara begini akan berlaku!
© Utusan Melayu (M) Bhd RUJUKAN :UTUSAN ONLINE 11.12.13
No comments:
Post a Comment