Ad

Wednesday, 11 December 2013

Iskandar galas beban

Iskandar Zulkarnain mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan Hoang Nam Nguyen pada pusingan pertama acara badminton di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, semalam.
NAY PYI TAW - Hasrat pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng untuk mara ke perlawanan akhir Sukan SEA 2013 Myanmar berkecai selepas tewas di pusingan pertama kepada wakil Thailand, Suppanyu Avihingsanon di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, semalam.

Bagaimanapun, kekecewaan tersebut berjaya diubati seorang lagi pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang tidak menghadapi masalah untuk mengalahkan pemain Vietnam, Hoang Nam Nguyen.

Sebelum ini, Wei Feng pernah berjanji meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir acara perseorangan lelaki, namun kekalahan 19-21, 14-21 melenyapkan semuanya tatkala Iskandar yang mengalahkan Nam Nguyen 21-12, 21-10 terpaksa meneruskan perjuangan berseorangan.

Kata Wei Feng, meletakkan sasaran terlalu tinggi dan undian yang sukar menyebabkan dia menjadi gementar sebelum dan ketika perlawanan berlangsung, sedangkan rekodnya dalam dua pertemuan sebelum ini memihak kepadanya dengan keputusan straight set.

"Saya sebenarnya melakukan banyak kesilapan mudah menyebabkan lawan menggunakan kesempatan itu untuk mengumpul mata, selepas pulang ini saya perlu berlatih untuk bersedia pada musim baharu," katanya yang mengakui tidak berada pada tahap kesihatan yang baik sebelum bertolak ke Myanmar lagi.

Sementara itu, Iskandar berkata, dia akan berasa sedikit tertekan selepas ini kerana bakal menggalas tanggungjawab yang besar.

"Saya tidak sangka dia (Wei Feng) kalah, kerana dia prospek untuk meraih pingat tetapi saya berjanji akan menggalas tanggungjawab ini dan membawa pulang pingat buat negara.

''Pada mulanya tidak ada tekanan tetapi sekarang saya perlu harapkan kejutan dan sedikit tenang," katanya yang akan berdepan pemain Indonesia, Wisnu Yuli Prasetyo di suku akhir hari ini.

Turut mara ke pusingan suku akhir ialah kedua-dua pasangan beregu lelaki, Lim Khim Wah-Ow Yao Han yang mengalahkan beregu Laos, Phakornkham Fongmalayseng-Bouphasone Douangvilay 21-11, 21-7 manakala Goh V Shem-Teo Kok Siang menang ke atas beregu Filipina, Vivas Paul Jefferson-M. Peter Gabriel 21-12, 21-19.

Khim Wah-Yao Han akan bertemu pasangan Vietnam, Minh Bao-Nguyen Khang Huynh pada suku akhir manakala V Shem-Kok Siang pula akan menentang wakil Thailand yang juga pilihan kedua temasya, Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech.

Dalam perseorangan wanita pula, Yang Li Lian berjaya mengalahan Manivone Meungchalven dari Laos 21-5, 21-12 namun Lim Chiew Sien tewas kepada perseorangan Thailand, Busanan Ongbamrungphan 21-10, 21-12.

Beregu wanita pula Lim Yin Loo-Lee Meng Yean berjaya mengalahkan pasangan Laos, Lomany Bouphakesone-Phonepan Vatthanavong 21-13, 21-14 manakala satu lagi pasangan, Woon Khe Wei-Vivian Hoo menang ke atas pasangan Thailand, Savitr Amitrapai-Narissapat Lam 21-10, 21-15.

Ong Jian Guo-Lim Yin Loo yang beraksi dalam beregu campuran turut mara selepas mengalahkan pasangan Laos, Phakornkham- Boupkhakesone 21-17, 21-16, manakala Tan Aik Quan-Lai Pei Jing menang ke atas pasangan tuan rumah, Lwin Aung Than-Pwint Zan Phu 21-12, 21-8. - Utusan
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131211/su_02/Iskandar-galas-beban#ixzz2nAdDhjIR
© Utusan Melayu (M) Bhd

RUJUKAN :UTUSAN ONLINE 11.12.13

No comments:

Post a Comment