NAY PYI TAW - Misi pasukan
Harimau Muda untuk mempertahankan pingat emas bola sepak Sukan SEA bermula
dengan nota yang sedikit mencemaskan apabila sekadar menang 2-0 ke atas Brunei
pada perlawanan sulung Kumpulan A di Stadium Zeyyer Thiri, semalam.
Jangkaan awal untuk Malaysia
menang dengan jaringan besar ternyata meleset apabila hanya dua gol mampu
dicipta melalui Mohd. Rozaimi Abd. Rahman, pada minit ke-30 dan Ashri Chucu
pada minit ke-70.
Kejayaan meraih tiga mata ini
tidak wajar membuatkan anak-anak Datuk Ong Kim Swee berasa terlalu gembira
kerana aksi yang dipamerkan oleh mereka terlalu jauh untuk diiktiraf sebagai
calon juara Sukan SEA Myanmar ke-27.
Malah, tidak keterlaluan untuk
menganggap pasukan negara sebenarnya boleh dianggap bernasib baik menang dalam
perlawanan itu ekoran ketumpulan penyudah Brunei yang difahamkan dibarisi
majoriti pemain di Bawah 19 tahun.
Terlalu banyak kelemahan ketara
dapat dilihat terutama di bahagian tengah yang gagal mengawal permainan
sehingga banyak membiarkan pasukan lawan berjaya melakukan serangan balas
berulang kali ke dalam kawasan penalti pasukan negara.
Taktikal pasukan Brunei yang
melakukan kepungan ke atas pemain negara semasa bertahan jelas begitu menjadi
yang menyebabkan skuad Harimau Muda terkapai-kapai mengawal permainan.
Penyerang tinggi lampai, Izzaq
Faris Ramlan menjadi pemain paling banyak mensia-siakan peluang di dalam kotak
penalti apabila banyak percubaannya tersasar atau diselamatkan penjaga gol,
selain Thamil Arasu dan Rozaimi.
Ketiadaan Junior Eldstal di
bahagian tengah jelas memberikan banyak masalah buat Kim Swee kerana Nazmi yang
banyak ditugaskan sebagai pemain tengah bertahan, jelas tidak dapat membantu.
Setelah beberapa kali hampir
dikejutkan oleh Brunei, Rozaimi memberikan kelebihan kepada pada pasukan negara
apabila bijak memanfaatkan hantaran jauh Mohd. Irfan Fazail.
Brunei hampir menyamakan
kedudukan sembilan minit kemudian namun mujur Azwan Ali Rahman gagal menyepak
tepat ke arah pintu gol Malaysia.
Babak kedua memperlihatkan aksi
pasukan negara semakin goyah dengan Brunei semakin banyak menguasai permainan
dan bijak mengeksploitasi kelemahan di barisan pertahanan negara.
Pemain kelahiran Sarawak, Ashri
Chuchu, akhirnya memberikan kelegaan kepada pasukan negara apabila golnya pada
minit ke-70 memastikan Malaysia membawa pulang tiga mata penting.
Laos yang masih segar dengan kejayaan
mengikat Singapura 1-1 pada perlawanan pertama mereka akan menjadi lawan kedua
pasukan negara pada 13 Disember ini. - Utusan
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131211/su_04/Harimau-Muda-perlu-lebih-garang-semasa-jumpa-Laos-nanti#ixzz2nAbK2VBI
© Utusan Melayu (M) Bhd
RUJUKAN :UTUSAN ONLINE 11.12.13
No comments:
Post a Comment