PEMENANG Anugerah Pemain Harapan Terbaik 2013, Junior Eldstal melahirkan rasa syukur dan gembira setelah dipilih memenangi anugerah tersebut, lapor MOHD FIRDAUS HASHIM.

Namun menurut pemain berusia 21 tahun itu, jauh di sudut hatinya dia terkilan serta sedih kerana tidak dapat beraksi bersama skuad Harimau Muda dalam misi mempertahankan pingat emas bola sepak di Sukan Sea Myanmar, awal bulan depan.

“Saya sangat gembira terima anugerah ini. Tetapi saya juga sedih tak dapat membantu rakan-rakan bermain di Sukan Sea. Impian saya musnah untuk bermain di Myanmar.

“Saya mengimpikan saat-saat indah ketika menjuarai Pesta Bola Merdeka dan saya yakin pasukan negara mampu mempertahankan pingat emas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan FAM 100PLUS-Astro Arena 2013, di Shah Alam, kelmarin.

Jelas Junior, buat masa ini tumpuannya hanyalah mendapatkan rawatan dan berehat secukupnya agar cepat pulih dari kecederaan belakang dialaminya.

“Selepas ini saya akan kembali ke Sarawak untuk mendapatkan rawatan. Saya berharap cepat pulih sebelum tirai Liga Malaysia (Liga-M) bermula,” katanya.