Harimau Muda perlu bangkit daripada kekecewaan selepas gagal meraih
sebarang pingat pada Sukan SEA ke-27 Myanmar yang menyaksikan Thailand kembali
membuktikan mereka adalah kuasa besar sukan itu di Asia Tenggara.
NAY PYI TAW - Hampa dan sedih, hanya dua ayat itu sahaja mampu
menggambarkan kegagalan skuad Harimau Muda mempertahankan ibu kepada segala
pingat emas yang telah dimenangi pada Sukan SEA Laos 2009 dan Indonesia 2011.
Memberikan sedikit harapan apabila layak penuh bergaya ke separuh akhir
mengalahkan Vietnam 2-1, nasib tidak menyebelahi anak-anak buah Datuk Ong Kim
Swee apabila kalah menerusi tendangan sepakan penalti 3-4 kepada Indonesia
selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan.
Menambahkan lagi kedukaan, mereka pulang dengan tangan kosong apabila
'badi' ketika bertemu Singapura seperti seolah-olah sukar dihapuskan apabila
kalah 1-2 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.
Selain mengalahkan Vietnam, Malaysia sebelum itu mengungguli peringkat
Kumpulan A dengan muncul juara dengan merekodkan tiga kemenangan (Brunei 2-0,
Laos 4-1) dan seri 1-1 dengan Singapura.
Sememangnya skuad bimbingan Kim Swee sebelum hadir ke bumi Myanmar telah
menghadapi masalah kecederaan yang cukup serius terutama di bahagian sayap
sebaik sahaja Wan Zack Haikal Wan Nor, Syahrul Azwari dan Wan Zaharulnizam Wan
Zakaria mendapat kecederaan.
Keadaan menjadi semakin parah apabila skuad kebangsaan turut kehilangan
khidmat Nik Shahrul Mohd. Azim, Junior Eldstal, Gary Steven Robbat, Mohd. Amer
Saidin dan Fandi Othman, yang boleh dianggap memiliki pengalaman yang cukup
luas pada pertandingan tertinggi seperti Sukan SEA.
Situasi itu memaksa Kim Swee terpaksa bergantung kepada Ashri Chuchu dan D.
Saarvindran sahaja, dua pemain yang boleh mengisi posisi sayap kiri dan kanan.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131223/su_06/Memori-sedih-Harimau-Muda#ixzz2oFbtToPU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment