SKUAD Harimau Muda menutup
musim 2013 dengan penuh kekecewaan apabila terlepas pingat emas acara bola
sepak pada Sukan SEA Myanmar.
KALENDAR sukan negara bagi
musim 2013 melabuhkan tirainya dengan penyertaan ke temasya Sukan SEA ke-27 di
Myanmar, yang menyaksikan kontinjen negara mengutip 43 pingat emas sekali gus
mengatasi sasaran awal 40 pingat emas.
Selepas 18 hari temasya
dwitahunan itu berlangsung, Malaysia mengutip keseluruhan 43 pingat emas, 38
perak dan 76 gangsa untuk berada di tempat kelima dalam kedudukan pingat
keseluruhan, berbanding edisi 2011 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, apabila
Malaysia meraih 59 emas, 50 perak dan 82 gangsa.
Namun jumlah pungutan pingat
yang berkurangan bukanlah petanda kemerosotan sukan negara. Menteri Belia dan Sukan,
Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan sasaran 40 pingat emas sebagai sasaran
realistik kerana ada acara tidak dipertandingkan pada temasya Sukan SEA kali
ini.
Penampilan atlet muda dan
pelapis pada temasya kali ini amat membanggakan dan begitu juga kejayaan yang
dilakar beberapa atlet daripada sukan kurang popular seperti ekuestrian dan
Muay Thai yang masing-masing berjaya menghadiahkan tiga dan dua pingat emas.
Kegagalan skuad Harimau Muda
mempertahankan 'ibu segala pingat' dalam acara bola sepak adalah suatu yang
mengecewakan para peminat sukan tanah air dan akhirnya, skuad kendalian Datuk
Ong Kim Swee pulang dengan tangan kosong.
Selain episod suka dan duka di
Myanmar, atlet negara terus memahat nama di persada sukan antarabangsa.
Skuad hoki remaja lelaki
Malaysia memahat sejarah tersendiri dengan menduduki tempat keempat pada
Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki di New Delhi, India.
Kejayaan skuad Projek 2013
kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu juga melepasi sasaran awal untuk berada
dalam kelompok enam pasukan terbaik oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Sementara itu, komitmen
terhadap latihan telah menjurus kepada kilauan emas buat atlet elit olahraga
paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru kategori
F20 (masalah pembelajaran) lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa
Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Lyon, Perancis, Julai lepas.
Ekoran kejayaan itu, Muhammad
Ziyad menjadi penerima pertama insentif sama seperti atlet lain di bawah Skim
Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).
Selain Muhammad Ziyad, negara
juga boleh berbangga dengan jaguh-jaguh berbasikal lebuh raya kebangsaan yang
banyak mencipta kejayaan tersendiri.
Antara yang menjadi tumpuan
media sepanjang 2013 ialah Loh Sea Keong, pelumba kelahiran Kelantan, yang
mencipta sejarah sebagai pelumba terbaik keseluruhan pada Jelajah Malaysia 2013
(Jersi Kuning).
Rentetan kejayaan yang dikecapi
sepanjang 2013, pelumba profesional negara itu menerima lamaran pasukan Pro
Tour, Argos-Shimano untuk menyertai pasukan itu musim 2014, sekali gus menjadi
pelumba tempatan pertama beraksi bersama pasukan berstatus Pro Tour dalam
kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Dalam pada itu, Malaysia boleh
terus berbangga dengan dua atletnya yang bertaraf dunia dan terus mengharumkan
nama negara di persada antarabangsa.
Sebut sahaja nama Datuk Nicol
Ann David dalam sukan skuasy dan Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton,
ramai yang sudah mengenali mereka kerana kedua-duanya masih mengekalkan ranking
No. 1 dunia.
Untuk tahun 2013, Nicol, juara
dunia tujuh kali itu bermula hambar selepas tewas dua kali pada perlawanan
akhir dalam kejohanan skuasy Cleveland Classic (5 Februari) dan Terbuka Britain
(26 Mei).
Namun selepas pertengahan tahun
2013, pemain berusia 30 tahun dan berpangkalan di Amsterdam, Belanda itu,
meledak dengan menjuarai lima kejohanan jelajah Persatuan Skuasy Wanita (WSA)
iaitu Terbuka Malaysia (15 September), Terbuka Carol Weymuller (6 Oktober),
Terbuka Amerika Syarikat (18 Oktober), Terbuka China (27 Oktober) dan Terbuka
Hong Kong (8 Disember).
Sementara Chong Wei pula muncul
pemain pertama yang memenangi Siri Super Dunia BWF Akhir untuk kali keempat
berturut-turut.
Kejayaan itu juga adalah yang
ketujuh beliau dalam siri kejohanan Siri Super tahun ini iaitu di Korea
Selatan, Malaysia, India, Indonesia, Jepun dan Hong Kong.
Arena sukan negara turut
menarik perhatian ramai apabila timbulnya beberapa isu, terutama yang
melibatkan kepentingan negara dan masalah dalaman persatuan sukan.
Paling ketara ialah kemelut
antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan Presiden Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berhubung isu pelantikan beliau oleh
Khairy dalam Jawatankuasa Pembangunan Bola sepak Negara.
Kemelut timbul apabila FAM
tidak mahu menghantar wakilnya dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan
memandangkan Annuar masih lagi menjalani hukuman penggantungan jawatan selama
dua tahun setengah kerana mengeluarkan kenyataan akhbar yang berunsur negatif
terhadap skuad bola sepak kebangsaan, sekali gus melanggar Artikel 88 Statut
FAM.
Isu itu berlanjutan sehinggalah
Annuar membuat keputusan mengejut dengan melepaskan semua jawatan dalam
persatuan bola sepak tanah air termasuk menjadi anggota Jawatankuasa
Pembangunan Bola sepak Negara, yang bertujuan untuk menjernihkan semula keadaan
supaya program pembangunan bola sepak dapat berjalan lancar dengan ketiadaan
beliau dalam jawatankuasa berkenaan.
Selain itu FAM, dalam mesyuarat
Jawatankuasa Eksekutifnya yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad
Shah pada November lepas, telah memutuskan untuk tidak menyambung kontrak ketua
jurulatih skuad kebangsaan, Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang tamat pada
31 Disember.
Ia ekoran kegagalan Rajagobal
melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) FAM untuk melayakkan diri ke pusingan
akhir Piala Asia 2015 di Australia.
Kekosongan tempat Rajagobal,
yang dilantik sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya selama lima tahun bermula
2009, akan digantikan sementara oleh Kim Swee. - Bernama
KOSMO ONLINE SUKAN 24.12.13
No comments:
Post a Comment