Ad

Monday, 23 December 2013

Renang semakin membimbangkan

Oleh MOHD.TAUFEK RAZAK
taufek.razak@kosmo.com.my
 
CAI Lin (kiri) dan Daniel Bego sudah sampai ke penghujung karier.

NAY PYI TAW, Myanmar – Dari segi mata kasarnya, sudah tentu renang antara salah satu acara yang telah pun mencapai sasaran malah terlebih satu daripada apa yang ditetapkan sebelum datang ke temasya Sukan SEA Ke-27 yang melabuhkan tirainya kelmarin.

Pencapaian 4 pingat emas, 4 perak dan 3 gangsa dilihat boleh dibanggakan kerana Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) hanya mensasarkan tiga emas sahaja, satu sasaran yang dianggap paling selamat untuk menutup kelemahan.

Dua daripada emas yang dimenangi datangya daripada Christina Loh dalam acara 100 dan 200 meter kuak dada wanita manakala dua lagi adalah menerusi perenang veteran, Daniel Bego dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki dan Khoo Cai Lin 800 meter gaya bebas wanita.

Christina, satu contoh yang mungkin Malaysia rasakan sudah ada pelapis atau pun paling tidak, tampil selaku pengganti kepada Daniel dan Cai Lin yang dianggap sudah boleh bersara selepas ini untuk menggegar kolam renang.

Tetapi adakah cukup sekadar mengharapkan Christina yang hanya handal dalam acara kuak dada? Berapa kerat perenang negara yang menonjol dalam acara lain seperti kuak kupu-kupu, kuak lentang dan gaya bebas?

Sebenarnya, jika dilihat daripada catatan masa dan acara, Malaysia jelas semakin ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara lain khususnya seperti Singapura, Thailand dan paling mencuri tumpuan adalah Vietnam.

Singapura muncul juara keseluruhan dengan 11 emas diikuti Thailand, 7 emas, Vietnam dan Indonesia, masing-masing 5 emas manakala nama Malaysia hanya berada selepas itu di tempat kelima.

Singapura dilihat sudah pun bersiap sedia untuk menjadikan renang sebagai lubuk emas mereka apabila menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2015 nanti, itu pun jika Malaysia masih belum mahu menekan butang panik.

Paling membimbangkan adalah kebangkitan Vietnam selain Thailand yang pada temasya sebelum ini, kurang mendapat perhatian.

Vietnam khususnya, kali ini mereka sudah ada perenang-perenang muda yang sedang meningkat naik seperti Quy Phuoc Hoang (lelaki) dan paling menonjol adalah kemunculan Nguyen Thi Anh Vien (wanita) yang mungkin ramai tidak sedar telah memenangi tiga pingat emas pada temasya di Myanmar ini.

Tetapi di mana perenang muda Malaysia? Mengikut acara, mungkin Malaysia sudah ada bakal ratu kuak dada tetapi bagaimana dengan acara lain seperti gaya bebas, kuak lentang dan kuak kupu-kupu?

Apakah masih terpaksa mengharapkan Daniel dan Cai Lin yang sudah berada di penghujung karier dan prestasi itu untuk menjelmakan emas dua tahun lagi?

Itu pun dalam acara gaya bebas dan jarak jauh sahaja.

Dengan Malaysia bakal menjadi tuan rumah pada 2017, tugas melahirkan perenang berwibawa perlu dilakukan bermula dari sekarang jika tidak mahu terus ketinggalan.

Ini kerana berdasarkan jantina, Singapura dan Thailand ada ramai perenang yang muda dan handal dalam kategori wanita.

Vietnam pula sudah ada ‘Nurul Huda’ baharu dalam pembikinan.

Manakala dalam kategori lelaki, kekuatan boleh dikatakan agak seimbang dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam sama handal, sama hebat.

Tetapi di mana kedudukan Malaysia, setakat ini belum nampak potensi besar berdasarkan jantina ini kecuali Christina.

Itu pun agak membimbangkan kerana jika berdasarkan catatan masa, prestasi ratu kuak dada Sukan SEA Ke-27 ini tidaklah sehebat mana berbanding jaguh negara sebelum ini, Siow Yi Ting.

Cuma yang sedikit melegakan ialah tidak banyak rekod baharu Sukan SEA diperbaharui kali ini.

Ia membuktikan Malaysia masih tidak berapa jauh ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara lain.

Ia juga menjadi penanda aras betapa pencapaian perenang rantau ini tidak banyak meningkat terutama untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi seperti Sukan Asia dan Olimpik.

Hakikat yang perlu diakui ialah satu ketika dahulu renang adalah lubuk emas kontinjen negara di Sukan SEA kerana ia antara acara yang menawarkan banyak pingat dan bertaraf Olimpik.

Tetapi kini ia tidak lagi.

Kekuatan perenang negara semakin membimbangkan seiring dengan kemerosotan prestasi dan mutu perenang di rantau ini.

Jelas, sesuatu perlu dilakukan dengan segera jika mahu melihat sukan renang terus berada dalam kelas tersendiri di pentas Sukan SEA mahupun kejohanan peringkat antarabangsa yang lainnya

KOSMO ONLINE SUKAN 24.12.13

No comments:

Post a Comment