Oleh Amran Mulup
pengarang@utusan.com.my
MELAKA 9 Dis. - Kreativiti dan
pengalaman mampu mengubah keadaan malah menyelamatkan nyawa.
Inilah yang berlaku ke atas dua
jurulatih dan 11 pelatih komando apabila memanfaatkan minyak senjata sebagai
bahan api untuk menghidupkan enjin Yamaha 60 kuasa kuda sehingga sampai ke
Pantai Puteri, Klebang pada pukul 12.50 tengah malam tadi.
Dalam keadaan tidak mempunyai
apa-apa peralatan bagi menentukan arah selepas lebih 24 jam bertarung nyawa
apabila bot terbalik ketika menjalani latihan malam kelmarin akibat dipukul
ribut di perairan Selat Melaka dekat Pulau Upih, mereka menunggu kapal kargo
melintas sebagai pedoman untuk ke daratan.
Mereka adalah antara 10
jurulatih dan 35 pelatih yang sedang mengikuti kursus asas komando iaitu
latihan mendayung menggunakan empat buah bot bermula dari Kem Sungai Udang
menuju ke Pulau Nangka.
Menceritakan detik-detik cemas
itu, salah seorang pelatih yang enggan namanya disiarkan berkata, jika tidak
kerana idea salah seorang jurulatih menggunakan minyak senjata tidak mungkin
mereka selamat sampai ke Pantai Puteri.
Menurutnya, enjin bot itu gagal
dihidupkan setelah beberapa kali dicuba sejurus selepas bot yang terbalik
dipukul ribut dan ombak, dinaikkan semula pada malam kejadian Sabtu lalu.
“Sepanjang masa kami tidak
putus asa dan cuba baiki dan hidupkan enjin bot tetapi segalanya gagal tetapi
mujurlah bila minyak senjata digunakan, enjin bot dapat dihidupkan,"
katanya yang berasal dari Alor Setar ketika ditemui di Hospital Angkatan
Tentera di Kem Terendak, di sini hari ini.
Menurut pelatih itu lagi,
sebaik sahaja mendapat pedoman arah ke daratan melalui arah pergerakan kapal
kargo, mereka terus memecut sehingga ke Pantai Puteri.
Seorang lagi pelatih berusia 20
tahun berkata, pengalaman paling menakutkannya apabila bot mereka hampir-hampir
dirempuh kapal kargo yang melalui Selat Melaka.
“Saya hanya mampu berdoa kerana
ada tiga kapal kargo lalu menghampiri bot kami dan mungkin mereka tidak nampak
dalam keadaan gelap tetapi mujurlah kami tidak dilanggar," katanya.
Seorang lagi pelatih berusia 19
tahun memberitahu, sepanjang hampir 24 jam bot mereka hanyut ke tengah laut dia
tidak putus-putus berdoa agar dapat diselamatkan.
Katanya, ini pengalaman pahit
dialaminya tetapi lebih penting mereka semua tidak berputus asa berusaha untuk
menyelamatkan diri.
Seorang lagi rakannya berkata,
dia seperti tidak percaya dapat kembali dengan selamat selepas mengharungi
detik-detik paling cemas yang tidak pernah dilalui sebelum ini.
“Selepas bot yang terbalik
dinaiki semula, kami menggunakan tangan dan apa sahaja yang ada untuk mendayung
tetapi bot terus dihanyutkan ke tengah laut.
“Saya berterima kasih kepada
dua jurulatih kerana memberi semangat kepada kami agar tidak putus asa,"
katanya.
Ketika itu, ujarnya, dia sudah terbayang
ajal tetapi dalam masa sama tetap yakin atas kesungguhan rakan-rakan yang lain
berusaha untuk menyelamatkan diri.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131210/dn_05/Minyak-senjata-selamatkan-kami#ixzz2n2l1lYRZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment