MELAKA 9 Dis. -
Keberkesanan sistem latihan komando yang dijalani telah membantu dua jurulatih
dan 11 pelatih menyelamatkan diri selepas bot dinaiki mereka karam dipukul
ribut di perairan Selat Melaka berdekatan Pulau Upih malam kelmarin.
Timbalan Menteri
Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pengalaman dua jurulatih dibantu
semangat kental 11 pelatih yang mengikuti kursus asas komando peringkat akhir
di Kem Sungai Udang digunakan sebaik mungkin apabila mereka tidak berputus asa
dan berjaya menghadapi situasi meruncing untuk menyelamatkan diri.
Beliau berkata,
berbekalkan latihan komando yang dijalani kesemua mangsa menggunakan pelbagai
cara untuk mencari jalan menyelamatkan diri walaupun hanyut di lautan lebih 24
jam sehingga bot mereka dibawa arus sehingga ke perairan antarabangsa.
"Saya puji semangat
kental kesemua pelatih dan jurulatih ini. Mereka berjuang untuk hidup
menggunakan apa sahaja kaedah yang diajar bila berdepan situasi cemas sebegini
dan akhirnya selamat sampai di Pantai Puteri kira-kira pukul 12.50 tengah malam
tadi.
"Lebih membanggakan
kesemua 11 pelatih yang akan menamatkan kursus asas komando begitu bersemangat
dan menyuarakan hasrat untuk terus berkhidmat walaupun mengharungi detik paling
pahit dalam hidup mereka.
"Kesemua pelatih ini
akan dianugerahkan Beret Hijau pada satu majlis yang akan diadakan pada 28
Disember ini," katanya kepada pemberita selepas melawat kesemua mangsa di
Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Yang
Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron
dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed
Noor.
Abdul Rahim berkata,
latihan mendayung yang dijalani oleh kesemua mangsa yang terlibat adalah
merupakan latihan biasa dilaksanakan untuk kursus tersebut di kawasan perairan
yang sering digunakan.
Menurutnya, sewaktu
kejadian kesemua mangsa adalah antara 10 jurulatih dan 35 pelatih yang
mengikuti kursus asas komando sedang menjalani latihan mendayung menggunakan
empat buah bot bermula dari Kem Sungai Udang menuju ke Pulau Nangka.
"Sewaktu empat bot
menghampiri Pulau Upih, berlaku kejadian ribut menyebabkan tiga daripada bot
tersebut hampir karam tetapi berjaya diselamatkan oleh bot keselamatan yang
mengiringi sepanjang latihan," ujarnya.
Beliau menambah, selepas
satu bot berjaya diselamatkan, satu bot lagi berjaya ditarik ke pantai Klebang,
satu lagi ke Pulau Upih tetapi gagal menemui bot yang keempat.
RUJUKAN://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131210/dn_07/Sistem-latihan-komando-selamatkan-13-anggota-tentera#ixzz2n2pkqdPS
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment