SEA KEONG menjadi taruhan
terbaik skuad lebuh raya negara memburu pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013
di Myanmar.
CUACA di Melaka Khamis lalu
agak panas. Bagaimanapun, bahang itu belum mampu menandingi perdebatan 'panas'
yang membelenggu Jawatankuasa Lebuhraya Persekutuan Kebangsaan Berbasikal
Malaysia (PKBM).
Seperti biasa, mesyuarat
tersebut dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Abu Samah Abd. Wahab.
Agenda mesyuarat Khamis lalu
hanya satu - menepati syarat meraih satu pingat emas menerusi acara lebuh raya
pada Sukan SEA 2013 di Myanmar sebagaimana yang ditetapkan Menteri Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Atas kertas, barisan pelumba
negara dianggap paling perkasa di rantau Asia Tenggara. Senario tersebut
meyakinkan Jawatankuasa Lebuhraya PKBM betapa sasaran satu emas yang ditetapkan
oleh Khairy Jamaluddin seakan-akan mudah untuk digapai.
Nama Loh Sea Keong yang telah
dilestarikan namanya selaku juara individu keseluruhan Jelajah 1Malaysia 2013
pasti digeruni di Naypyitaw nanti.
Begitu juga kelibat dua tonggak
Terengganu Cycling Team (TSG) - Mohd. Saufi Mat Senan atau Mohd. Shahrul Mat
Amin.
Prestasi dua pelumba pro benua
dan benua - Mohd. Adiq Hussainie Othman dari Champion System Pro Cycling Team
dan Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional Cycling Team) cukup ampuh.
Ditambah pula mereka sudah
pernah beraksi di pentas yang lebih besar - Sukan Olimpik 2012 di London selain
Kejohanan Dunia 2013 di Florence, Itali.
Pada masa sama, prestasi semasa
pelumba berpengalaman, Mohd. Fauzan Ahmad Lufti selain Muhammad Rauf Nur Misbah
dan Nik Mohd. Azwan Zulkiflie pada penyertaan di China dan Indonesia sebelum
ini dikatakan sangat memuaskan.
Namun, Abu Samah menegaskan
betapa pengalaman masa silam selaku bekas pelumba era tahun 50-an mengajar
beliau agar lebih berwaspada dalam menetapkan sasaran kemenangan.
Kekecewaan pada tiga temasya
Sukan SEA di Korat, Thailand (2007); Viantiane, Laos (2009) dan Subang,
Indonesia (2011) adalah hakikat yang amat perit untuk ditelan oleh Abu Samah.
"Sebelum ini, kita
bolehlah dianggap kuasa dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki. Barisan
pelumba lebuh raya Malaysia adalah kuasa dominan dalam acara lepas
beramai-ramai elit lelaki sejak Sukan SEA 1995 di Chiangmai, Thailand.
"Namun, kita mula berputih
mata pada 2007. Suhardi (Hassan) dilihat seakan boleh untuk mempertahankan
pingat emas yang dimenanginya di Filipina dua tahun sebelum itu.
"Namun, kesilapan pada 10
kilometer terakhir menyebabkan pelumba Indonesia (Ryan Ariehaan) menghancurkan
impian besar kita.
"Selepas itu kita terus
gagal di Laos dan Indonesia. Bagaimanapun, PKBM tak pernah mahu untuk mengaku
kalah.
"Pada temasya Sukan SEA
kali ini, saya berjanji akan membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat
emas," kata Abu Samah baru-baru ini.
Abu Samah yang juga Naib
Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) merumuskan betapa persiapan untuk
Sukan SEA 2013 adalah antara termahal dan paling komprehensif dalam sejarah
penyertaan ke temasya berkenaan.
Ketika ini, PKBM menerima
bantuan RM1.5 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai
perbelanjaan pembangunan pasukan lebuh raya Malaysia.
Keutamaan perbelanjaan
sebahagian besar dijuruskan kepada penyertaan pada perlumbaan paling berprestij
di rantau Asia - Le Tour de Langkawi (LTdL).
"Kita telah beli enam biji
basikal time-trial (ujian masa) dan set kelengkapan alat ganti yang canggih.
Kita juga telah beri basikal baharu untuk pelumba lebuh raya bagi acara lepas
beramai-ramai elit lelaki.
"Boleh dikatakan tidak
timbul lagi soal kita gunakan basikal lama atau kelengkapan alat ganti tidak
cukup.
"Para pelumba telah sertai
lebih daripada lima kejohanan besar termasuk dua di China dan Indonesia. PKBM
juga telah jaga kebajikan semua pelumba termasuk pastikan elaun mereka diterima
tepat pada masanya.
"Jadi, rumusan saya adalah
mereka ibarat mahu melangkah ke medan perang dengan segenap peluru dan
kelengkapan yang sangat canggih.
"Jika dilihat dengan
segala kelengkapan, mereka adalah yang terhebat di rantau Asia Tenggara pada
ketika ini. Kalau diikutkan hati sasaran satu emas tidak setimpal dengan
pelaburan yang sudah dibelanjakan.
"Berbaloi sangat kalau
kita dapat empat atau lima pingat emas. Ini kerana ada 13 pingat emas yang
dipertandingkan dalam acara berbasikal di Myanmar nanti," katanya.
Persiapan yang sangat rapi
sejak awal tahun ini jelas membuatkan ketua jurulatih, Aminuddin Sulaiman
optimis sasaran satu emas boleh direalitikan tanpa banyak masalah.
"Saya melihat kita
berpeluang untuk menang pingat emas emas menerusi acara ITT (ujian masa
individu) dan TTT (ujian masa berpasukan). Saya telah buat sedikit kerja rumah.
"Saya dapati pencapaian
Fauzan dan barisan TTT Malaysia adalah yang paling pantas di rantau Asia
Tenggara pada ketika ini.
"Justeru, saya amat yakin
bahawa kita mampu untuk menang dalam kedua-dua acara ini, malah kita juga amat
kuat dalam kategori berpasukan acara lepas beramai-ramai elit lelaki. Kita ada
ramai pelumba yang hebat.
"Begitupun, saya cuma
perlu lebih berhati-hati dalam merencanakan strategi berpasukan dan siapakah
pelumba yang patut naik dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki.
"Kita hanya boleh
senaraikan enam pelumba. Saya percaya semua pelumba ke Myanmar nanti adalah
yang terbaik dan terhebat," katanya.
Aminuddin percaya Sea Keong
yang cemerlang di pentas antarabangsa sepanjang 2012 dan 2013 boleh memainkan
peranan terpenting untuk mengakhiri kemarau pingat emas skuad lebuh raya
Malaysia sejak 2007.
"Sea Keong adalah nama
yang sangat besar di rantau Asia Tenggara ketika ini. Dia menang Jersi Kuning
(juara keseluruhan) Jelajah 1Malaysia 2013.
"Dia juga menduduki tempat
kedua individu keseluruhan Jelajah Filipina 2012.
ADIQ antara pelumba negara yang
dilihat mempunyai potensi meraih kejayaan di Myanmar.
"Lebih membanggakan
apabila dia diumumkan muncul pelumba Asia Tenggara pertama yang bakal berkayuh
untuk pasukan pro-tour Argos Shimano bulan lalu.
"Ini adalah satu
pencapaian yang sangat besar kepada Sea Keong. Dia harus jadikan Sukan SEA 2013
sebagai satu medan untuk sahkan statusnya sebagai pelumba pro-tour yang
berkaliber di rantau Asia Tenggara.
"Saya percaya dia amat
ghairah untuk menang pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki,"
katanya.
Pengurus pasukan, Amrun Misnoh
pula mengharapkan kejutan tercetus menerusi acara basikal bukit (MTB) wanita
yang bakal menyaksikan Masziyaton Mohd. Radzi berazam untuk memperbaiki
pencapaiannya pada dua temasya Sukan SEA sebelum ini.
"Pada Sukan SEA 2011 di
Indonesia, dia menang pingat perak. Di Laos (2009), Masziyaton dapat pingat
gangsa.
"Berdasarkan persiapan
kali ini, selain sudah matang dari segi pengalaman, saya melihat Masziyaton
sebagai calon untuk menang pingat emas menerusi acara MTB," katanya.
Amrun juga percaya Mariana
Mohamad turut berpeluang besar menggapai pingat emas menerusi acara ITT
kategori wanita.
"Mariana menang pingat
perak pada Pra-Sukan Sea 2013 di Naypyitaw, April lalu. Ketika itu, dia cuma
kalah 30 saat kepada Nontasin Chanpeng. Sebelum ini Mariana keciciran jauh dan
mudah dikalahkan oleh Chanpeng.
"Kejayaan di Naypyitaw
April lalu telah membuka mata Mariana. Dia seolah-olah mendapat keyakinan
baharu. Dia sudah mula percayakan kebolehannya.
"Dia kini percaya boleh
kalahkan jagoan Thailand itu. Saya lihat ini adalah satu perkembangan yang
sangat positif ditunjukkan Mariana," katanya.
Pada usia 35 tahun, Mariana
dilihat perlu memanfaatkan detik kesempurnaan itu untuk mengecapi sekelumit
kejayaan di pentas Sukan SEA.
"Mungkin saya akan menjadi
pelumba tertua di kalangan barisan lebuh raya wanita Malaysia. Mungkin juga
saya akan muncul pelumba wanita tertua yang beraksi di Naypyitaw nanti.
"Namun, saya akan
menjadikan faktor usia ini sebagai pemangkin kejayaan saya. Saya yakin boleh
kalahkan Nontasin Chanpeng.
"Berdasarkan persembahan
di Naypyitaw April dan prestasi semasa, saya akan mencuba untuk pingat emas.
Saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan," katanya.
Dalam pada itu, Abu Samah turut
merakamkan penghargaan kepada barisan teknikal yang sekali lagi telah diberikan
kepercayaan oleh ACC dan UCI bagi membantu Myanmar memastikan persiapan acara
lebuh raya, MTB dan BMX berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi.
Sebagai rekod, beliau yang juga
Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) telah empat kali dilantik sebagai
Ketua Delegasi Teknikal Sukan SEA di Vietnam, Laos, Indonesia dan Myanmar.
"Kita telah hantar
sembilan pegawai teknikal. Mereka telah bertungkus lumus menggunakan segenap
kepakaran dan pengalaman demi memastikan acara lebuh raya, MTB dan MBX menepati
spesifikasi serta undang-undang yang ditetapkan oleh UCI dan ACC.
"Sebagai Ketua Delegasi
Teknikal Sukan SEA yang berasal dari Malaysia, saya amat berbangga dengan
sumbangan kita, ini bermakna kita bukan saja hebat dari segi penganjuran, malah
kita pegawai teknikal Malaysia sudah diperaku sebagai antara yang terbaik di
dunia," katanya.
Abu Samah menegaskan antara
pencapaian terbaik dicetus oleh Delegasi Teknikal Sukan SEA 2013 adalah menukar
laluan bagi acara lepas beramai-ramai elit lelaki.
"Bukan mudah untuk ubah
pendirian Kerajaan Myanmar. Kali pertama mengadakan pemeriksaan laluan, saya
diberitahu Menteri Sukan Myanmar, Tint Hsan berkeras mahukan laluan bagi acara
lepas beramai-ramai berakhir berakhir di jambatan yang baru dibina oleh kerajaan
Myanmar.
"Saya sendiri dua kali
bertemu Menteri Sukan Myanmar dan penjelasan kepada beliau. Namun, beliau masih
berkeras sehingga saya terpaksa menggunakan pengalaman, kepakaran dan peraturan
yang ditetapkan oleh UCI serta ACC bagi mengubah laluan tersebut.
"Laluan tersebut sangat
berbahaya kepada pelumba. dalam hal ini, saya selaku Ketua Delegasi Teknikal
Sukan SEA 2013 tidak mahu berkompromi dalam soal keselamatan pelumba.
"Saya tak mahu
dipersalahkan jika berlaku kemalangan yang meragut nyawa pelumba nanti.
Akhirnya berkat kesabaran saya, Menteri Sukan Myanmar bersetuju untuk perubahan
laluan.
"Dalam hal ini, saya
berbangga kerana sekali lagi saya berjaya merungkaikan permasalahan yang rumit.
Ini membuktikan kita perlu menggunakan saluran perbincangan, selain
memanfaatkan sektor diplomasi.
"Kaedah yang sama juga
telah saya gunakan sewaktu menyelesaikan permasalahan serupa ketika Sukan SEA
2011 di Indonesia. Pada waktu itu, tuan rumah enggan menyenaraikan acara wajib
disiplin trek sebagaimana ditetapkan UCI dan ACC.
"Namun, selepas beberapa
kali mengadakan pertemuan dan perbincangan, akhirnya KOI (Komite Olimpik
Indonesia) dan INASOC (Jawatankuasa Penganjuran Sukan Sea 2011) akur kepada
arahan UCI serta ACC atas saranan saya sendiri," katanya.
Di penghujung bicara, Abu Samah
masih sempat berjenaka dan menegaskan, Aminuddin harus bertanggungjawab
sepenuhnya atas penampilan dan kejayaan skuad lebuh raya Malaysia di Naypyitaw
sambil berkata: "Semua kehendaknya sudah saya penuhi.
Rujukan:http://www.kosmo.com.my/kosmo
online 2.12.13
No comments:
Post a Comment