Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
WAN ZACK (kiri) terpaksa
disisihkan daripada beraksi pada Sukan SEA 2013 di Myanmar ekoran masalah
kecederaan.
AKSI persahabatan dengan kelab
Jepun, FC Ryukyu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya Rabu ini boleh disifatkan sebagai
medan terakhir buat barisan pelatih Harimau Muda A membuktikan kemampuan
masing-masing jika berhasrat beraksi pada Sukan SEA 2013 di Myanmar.
Pengendali Harimau Muda A,
Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau enggan terburu-buru menamakan senarai akhir
20 pemain biarpun acara bola sepak temasya dwitahunan itu tinggal beberapa hari
sahaja lagi.
Sebaliknya, beliau berkata,
senarai akhir barisan Harimau Malaya hanya akan diumumkan selepas mereka
menguji FC Ryukyu kelak.
“Sama ada berlaku kejutan
ataupun tidak, tunggu selepas aksi berdepan FC Ryukyu... saya hanya membuat
keputusan selepas perlawanan itu.
“Ingin saya jelaskan di sini,
saya hanya mengutamakan mana-mana pemain yang memiliki prestasi semasa yang
bagus.
“Jika mana-mana pemain gagal
memberikan aksi memberangsangkan, mereka bakal diketepikan kali ini biarpun
pernah beraksi pada temasya Sukan SEA terdahulu,” katanya kepada Kosmo!
semalam.
Selain skuad Bawah 23 tahun
nagara, turut berada dalam Kumpulan A pada temasya Sukan SEA 2013 ialah Laos,
Brunei, Vietnam dan Singapura.
Finalis 2011, Indonesia pula
diundi bersama tuan rumah, Myanmar dalam Kumpulan B bersama Thailand, Timor
Leste dan Kemboja.
Kim Swee juga enggan
terburu-buru mengumumkan siapa yang bakal digandingkan bersama Mohd. Fadhli
Shas bagi mengemudi benteng pertahanan Harimau Muda A selepas beliau terpaksa
melupakan khidmat Nik Shahrul Azim Abdul Halim kali ini kerana kecederaan.
Selain Nik Shahrul, skuad muda
negara juga menerima tamparan hebat dalam misi memburu ‘ibu emas’ buat kali
ketiga berturut-turut gara-gara kecederaan jangka panjang Wan Zack Haikal Wan
Nor dan Syahrul Azwari Ibrahim.
“Saya masih meneliti pemain
yang sesuai bagi menggantikan Nik Shahrul.
“Apa yang pasti, pemain yang
terpilih kali ini haruslah berkemampuan beraksi dalam dua posisi berbeza
sekiranya dilanda krisis kecederaan sepanjang di Myanmar kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee
seakan-akan mula ‘mengintip’ kekuatan lawan Harimau Muda A apabila menyaksikan
aksi persahabatan antara Singapura dan Filipina di negara republik itu petang
semalam.“Saya hanya datang menyaksikan perlawanan,” katanya.
Rujukan:http://www.kosmo.com.my/kosmo
online 2.12.13
No comments:
Post a Comment