Nay Pyi Taw: Kuartet 4x200 meter gaya bebas
berganti-ganti lelaki negara hanya kurang satu saat berbanding Singapura untuk
sekadar meraih pingat perak semalam sekali gus meleburkan harapan meraih emas.
Namun catatan 7 minit 27.32 saat dilakar menerusi
gandingan Lim Ching Hwang, Kevin Yeap, Daniel Bego dan Welson Sim berjaya
memecahkan rekod kebangsaan iaitu 7:31.44s yang dicatat di Sukan Perpaduan
Islam di Palembang, September lalu.
Bego yang turun selaku perenang ketiga antara yang
menyerlah apabila berjaya merapatkan jurang dengan Singapura selepas dua
perenang negara, Ching Hwang dan Kevin agak ketinggalan.
Namun Welson Sim yang turun selaku perenang keempat hanya
sedikit ketinggalan sekali gus menyaksikan skuad negara sekadar berpuas hati
dengan perak manakala Singapura pingat emas dengan catatan 7:26.67s. Indonesia
ketiga dengan catatan 7:35.13s.
“Inilah yang terbaik mampu kami lakukan. Kami sudah
melakukan semampu mungkin tetapi Singapura nyata lebih bagus.
“Saya percaya kami mampu melakukan lebih baik selepas ini
tetapi untuk hari ini (semalam), hanya perak mampu diberikan kepada Malaysia,”
kata Daniel.
Sementara itu, dalam acara 200 meter rampaian individu
wanita, Erika Kong menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan catatan 2:23.97s
manakala Nadia Adrianna Redza kelapan (2:26.07).
Harn Tern Jian yang beraksi dalam acara 200 meter kuak
lentang lelaki pula di tempat kelima dengan catatan 2:07.89.
RUJUKAN :HARIAN METRO ONLINE 2013/12/13
No comments:
Post a Comment