NAY PYI TAW - Lebih separuh
daripada sasaran 40 pingat emas telah menemui kejayaan apabila enam lagi emas
mewarnai kem negara dengan keseluruhan kini mencapai angka 24.
Olahraga mencuri tumpuan dengan
menghadirkan keceriaan menerusi atlet lontar cakera, Mohd. Irfan Shamsuddin
yang meraih emas di Stadium Utama Wunna Theikdi, semalam.
Walaupun berusia 18 tahun,
Irfan membuktikan bakatnya bukan kepalang apabila mencatat rekod baharu
kebangsaan, 53.16 meter, memecahkan rekodnya sendiri iaitu 49.90 meter.
Olahraga masih berpeluang
meneruskan kecemerlangan hari ini dengan prospek akan tertumpu kepada Mohd.
Jironi Riduan dalam acara 800 meter lelaki dan lempar cakera wanita menerusi
Lee Casier Renee dan Nur Fariza Jalaluddin.
Emas kedua hadir menerusi acara
pencak silat, Mohd. Al Jufferi Jamari yang muncul juara dalam acara Putra Kelas
E, dengan mengalahkan peserta Vietnam, Thang Dang Toan secara technical
knockout (TKO).
Ia menjadikan jumlah
keseluruhan dimenangi sukan pencak silat, dua pingat emas, melebihi satu
daripada sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Karate yang cemerlang
membutirkan empat pingat emas pada hari kedua kejohanan, menutup tirai cabaran
mereka dengan meraih emas ketujuh menerusi berpasukan kumite wanita sementara
berpasukan kumite lelaki sekadar meraih perak.
Kemudian, snuker walaupun
ketiadaan Sam Chong, masih mampu menghadiahkan emas pertama buat Malaysia
melalui Rory Thor dalam acara 6 Red individu mengalahkan Sithideth dari Laos
apabila bangkit daripada ketinggalan 1-4 untuk menang 5-4.
Sukan bina badan tidak kurang
cemerlangnya apabila kehampaan Sazali Samad, Sabtu lalu ditebus Wong Ngai Hoeng
yang muncul pemenang pingat emas dalam acara 90 kilogram di Pusat Konvensyen
Myanmar, Yangon.
Christina Loh sewajarnya boleh
diangkat sebagai ratu renang baru negara apabila menyambar pingat emas keduanya
dalam acara 200 meter kuak dada dan turut memperbaiki rekod peribadinya.
Sebelum ini, dia memenangi emas
menerusi 100 meter kuak dada.
Sandaran utama renang hari ini
pada bahu Daniel Bego dan Lim Ching Hwang dalam acara 200 meter gaya bebas
selain Khoo Cai Lin dalam 200 meter rampaian wanita untuk meneruskan kocakan
emas di Pusat Akuatik Wunna Theikdi.
Hari ini, satu emas sudah pasti
berada dalam genggaman negara apabila dua atlet negara, Khairul Anuar Moahamd
dan Atiq Basil Bakri akan bertembung sesama sendiri pada perlawanan akhir acara
individu recurve lelaki.
Selain itu, skuad berbasikal
yang hampa pada hari semalam akan meneruskan cabaran dalam acara 100 kilometer
ujian masa dengan Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Muhd. Fauzan Ahmad Lutfi, Muhd.
Rauf Nur Misbah dan Muhd. Saufi Mat Senan akan membawa cabaran.
Green Gavin Kyle yang muncul
pendahulu hari pertama acara golf lelaki, akan meneruskan cabaran pada hari
kedua bagi memastikan pemburuan pingat emas terus bernyala.
Satu lagi prospek emas buat
kontinjen negara adalah sukan pelayaran yang akan bermula hari ini di Pantai
Ngwe Saung.
RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131216/su_01/Separuhlagi#ixzz2naRFw7pT
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment