13 Disember 2013
Sukan SEA 2013 Sukan SEA
2013
NAYPYITAW - "Saya
ambil tanggungjawab ini (atas kegagalan Malaysia). Keputusan kita betul-betul
memalukan," kata jurulatih skuad sepak takraw negara Jamaluddin Hassan
selepas anak buahnya tewas dalam kesemua tiga perlawanan acara berpasukan pada
Sukan SEA ke-27.
Walaupun pasukan negara
memenangi pingat gangsa, beliau yang kelihatan sebak berkata, pencapaian skuad
negara itu adalah sesuatu yang tidak dapat diterima kerana memperoleh pingat
tanpa sebarang kemenangan.
Pada saingan yang
berlangsung mengikut format liga sepusingan melibatkan empat penyertaan,
pasukan yang berada pada kedudukan teratas meraih pingat emas diikuti perak di
tempat kedua manakala pingat gangsa milik pasukan di tangga ketiga dan keempat.
Dalam perlawanan hari ini,
skuad negara tumpas 1-2 kepada Indonesia untuk menduduki tempat tercorot dalam
kalangan empat pasukan yang menyertai acara berkenaan.
Semalam, Malaysia kalah
0-3 kepada Thailand dan 1-2 di tangan pasukan tuan rumah, Myanmar.
Jamaluddin berkata,
prestasi yang ditunjukkan pemain negara yang majoriti kurang berpengalaman
beraksi di pentas antarabangsa, adalah jauh daripada kemampuan sebenar mereka.
Tanpa mahu menyalahkan
mana-mana pihak, beliau berkata banyak perkara yang perlu diperbaiki andai mahu
mengembalikan kekuasaan Malaysia dalam sukan berkenaan.
"Semasa ambil semula
tugas ini (sebagai jurulatih pada 2011), saya kata kepada semua, kita bukan
hendak kejar glamour sebab ia sekejap tetapi kalau kalah, lama kita akan
dikritik... dikutuk.
"Saya terima
kekalahan ini dan terpulang kepada pengurusan (Persatuan Sepak Takraw Malaysia)
berhubung kedudukan saya," katanya sambil mencabar pihak yang hanya tahu
mengkritik supaya tampil untuk bersama-sama memajukan sepak takraw negara.
Sementara itu, Thailand
meraih pingat emas acara berpasukan selepas mencatat kemenangan dalam
ketiga-tiga perlawanan. Pingat perak pula milik Indonesia manakala Myanmar yang
berada di tempat ketiga meraih gangsa.
Acara wanita berpasukan
juga menyaksikan pasukan negara menjadi pasukan belasahan apabila tumpas dalam
kesemua tiga perlawanan. Namun, seperti skuad lelaki, mereka turut meraih
pingat gangsa.
Pingat emas milik Thailand
manakala Myanmar meraih perak dan pingat gangsa turut dimenangi Indonesia.
Skuad lelaki akan
menyertai dua lagi acara iaitu regu dan double berpasukan manakala skuad wanita
akan beraksi dalam acara regu dan double regu. - Bernama
RUJUKAN: SINAR HARIAN
ONLINE 14.12.13
No comments:
Post a Comment