14 Disember 2013
Vivian-Khe Wei raih pingat emas
Atlet Badminton beregu wanita negara Woon Khe Wei (kiri) bersama pasangannya
Hoo Vivian Kah Mun menunjukkan pingat emas yang dimenangi selepas berjaya
menewaskan pasangan beregu Indonesia hari ini. - Foto Bernama
NAYPYITAW - Gandingan Vivian
Ho-Woon Khe Wei melakar kejutan apabila meraih pingat emas acara beregu wanita
Sukan SEA ke-27 di Stadium Tertutup Wunna Theikdi di sini hari ini.
Turun sebagai beregu bukan
pilihan, beregu negara itu mempamerkan prestasi terpuji untuk mengenepikan
pilihan utama, Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii dari Indonesia dalam
pertemuan tiga set.
Pada set pertama, Vivian Ho-Khe
Wei menang 21-17 namun kegopohan pada set kedua menafikan impian mereka buat
seketika apabila tumpas 18-21 di set kedua.
Keazaman yang meluap-luap untuk
mencatat kemenangan itu terserlah pada set penentuan walaupun diberi tentangan
sengit, apabila berjaya menamatkan pertarungan 21-17.
Pencapaian itu juga
menyelamatkan skuad negara daripada pulang tanpa kilauan emas selepas kesemua
pemain negara gagal mara ke perlawanan akhir acara masing-masing.
Kejayaan itu juga lebih manis
selepas kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara beregu wanita menerusi
gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pada edisi 2009 di Laos.
Ketika ditemui pemberita,
Vivian berkata mereka benar-benar mahukan kemenangan tersebut selepas
menampilkan prestasi tidak menentu sepanjang tahun ini.
"Prestasi kami tahun ini
turun naik dan kejayaan meraih pingat emas amat bermakna. Saya amat berpuas
hati dengan pencapaian ini," kata Vivian.
Dalam pada itu, Malaysia
memperoleh tiga pingat gangsa menerusi dua beregu lelaki dan satu beregu
campuran yang tewas kepada lawan masing-masing pada saingan separuh akhir,
semalam.
Pingat gangsa tersebut menerusi
gandingan Lim Khim Wah/Ow Yao Han dan Goh V Shem/Teo Kok Siang dalam acara
beregu lelaki dan Tan Aik Quan/Lai Pei Jing dalam acara beregu campuran. -
Bernama
RUJUKAN :SINAR HARIAN ONLINE
14.12.13
No comments:
Post a Comment