BANGKOK - Malaysia terpaksa akur dengan keunggulan Thailand apabila mudah ditewaskan 0-3 (12-15, 2-15, 8-15) pada perlawanan akhir Kejohanan Sepaktakraw Siri Super 2 ISTAF di Pusat Beli-belah Fashion Island, di sini semalam.
Kekalahan ini mengulangi pencapaian Siri Super 1 di New Delhi, awal bulan ini apabila pasukan negara kalah mengejut kepada Korea Selatan.
Tempoh 45 minit perlawanan jelas memaparkan betapa regu Sahidan Md. Ali (Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi), Norshahruddin Mad Ghani (Mohd. Hanafiah Dolah) dan Mohd. Syazreen Qamar Salehan bukan tandingan yang sepadan dengan Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee.
Regu negara hanya mampu berkejaran mata yang rapat dengan tuan rumah pada set pertama daripada ketinggalan 3-8 dan 6-10 kepada 9-11, 10-13 namun kecederaan kaki apit kanan, Norshahruddin dan kesukaran Sahidan mencuri mata daripada servis, memaksa jurulatih, Jamaluddin Hassan membuat pertukaran drastik pemain dalam set kedua pada kedudukan 1-5.
Namun, Hanafiah dan Aizat masih gagal menemui kelemahan pada Thailand sekali gus memulihkan prestasi dengan Pemain Terbaik Piala Dunia 2011, Pornchai Kaokaew pula berleluasa dengan libasan tajam yang jarang menghampakan rakannya sambil sesekali pelawat diperangkap dengan servis mengelirukan Siriwat.
Di sebalik baru berusia 20 tahun dan kali pertama bermain pada kejohanan antarabangsa sebesar Siri Super ISTAF untuk menggantikan Farhan Adam, apit kiri Malaysia, Mohd. Syazreen Qamar Salehan pula menunjukkan potensi untuk meningkat dengan menangkis dan mematahkan beberapa serangan lawan khususnya set pertama.
Aksinya turut meyakinkan ketika berdepan Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir kontroversi terdahulu yang dimenangi Malaysia 3-2 (15-8, 17-15, 11-15, 10-15 dan terhenti pada 13-10 apabila lawan menarik diri kerana membantah keputusan pengadil Vietnam, Coung Pham Kien membatalkan tampanan Im An Soo.
Regu wanita negara (Noor Fairuz Azizan, Nurrashidah Rashid, Nor Farhana Ismail) pula sekadar kekal dengan pencapaian tempat keempat seperti di New Delhi apabila ditundukkan semula oleh Vietnam 2-3 (15-12, 14-16, 15-13, 12-15, 12-15) dalam penentuan tempat ketiga.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130930/su_03/Malaysia-sekadar-naib-juara-lagi#ixzz2gTynqYGx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment