8 emas berkilau di Myanmar
Atlet karate negara (dari
kiri), Syakilla Saini, A. Nisha, S.Shree Sharmini dan S. Senthil Kumaran
bersama pingat emas masing-masing yang dimenangi dalam acara kumite pada hari
keempat Sukan SEA 2013 di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, semalam.
NAY PYI TAW - Selepas empat
hari Sukan SEA Myanmar dibuka secara rasmi, kontinjen Malaysia mengharungi hari
paling cemerlang apabila menokok lapan pingat emas dengan karate sekali lagi
menjadi mesin mencetak pingat buat negara selepas menyumbangkan empat emas,
semalam.
Walaupun sebelum ini mereka
sekadar menetapkan sasaran empat emas untuk dibawa pulang, namun kontinjen
karate menyahut cabaran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang percaya
sukan itu mampu menghadiahkan enam emas.
Pesta emas Malaysia dimulakan
oleh S. Senthil Kumaran dalam acara bawah 60 kilogram lelaki, sebelum ia
ditokok oleh rakan-rakan sepasukannya, S. Shree Sharmini (bawah 68kg wanita),
A. Nisha (bawah 55kg) dan K. Syakilla Saini (bawah 61kg).
Pasukan negara turut memenangi
pingat perak apabila R. Sharmemdran tumpas 0-3 kepada peserta Indonesia, Jintar
Simanjuntak pada pertarungan akhir lelaki bawah 67kg, manakala gangsa diraih
Shaharudin Jamaludin dalam acara bawah 75kg, L. Kunasilan (bawah 55kg) dan Mohd
Hatta Mahanut (bawah 84kg).
Kelmarin, karate meraih dua
pingat emas dalam acara kata individu, Lim Chee Wei dan berpasukan, sekali gus
mengumpul enam emas keseluruhan.
Jika Senthil puas kerana
memenangi emas dengan menumbangkan juara lima kali, Donny Dharmawan dari Indonesia,
Shree pula agak emosi apabila dinobat sebagai juara kerana kemenangan ini
mengingatkannya kepada ibunya, individu yang telah memaksa dia menyertai
sukan karate.
Selepas ayah meninggal dunia,
ibu menyuruh saya belajar sukan karate sebagai tujuan mempertahankan diri
kerana saya satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.
Tidak sangka, hanya kerana
dipaksa oleh ibu, minat timbul perlahan-lahan sehingga saya boleh berjaya pada
hari ini, " ujar Shree, yang menumbangkan Thi Tien Pham dari Vietnam.
Khabar gembira turut diberikan
di kolam renang apabila Daniel Bego yang baharu kembali daripada kecederaan
bahu akhirnya menghadiahkan emas dalam 400 meter gaya bebas lelaki, manakala
Khoo Chai Lin menutup mulut pengkritik dengan menggondol gelaran 800m gaya
bebas wanita.
Saya mahu berterima kasih
kepada semua yang memberi sokongan kepada saya selama ini. Saya tahu, ramai
yang meragui keupayaan saya selepas beraksi buruk dalam perlumbaan 400m
(menamatkan cabaran di tangga kelima). Kemenangan hari ini memang amat
menggembirakan," ujar Chai Lin.
Sementara itu dua kejutan besar
berlaku di lapangan ekuestrian dan gelanggang badminton, apabila dua emas hadir
daripada atlet yang tidak diduga, sekali gus melengkapkan hari penuh gemilang
kontinjen Malaysia.
Di Pusat Ekuestrian Wunna
Theikdi, penunggang berusia 16 tahun, Praveen Nair Mathavan berjaya mengungguli
acara dressage individu hanya pada penampilan pertama di Sukan SEA, malah
dengan menggunakan kuda pinjaman, Sen Win Mal.
Pelajar Sekolah Antarabangsa
Nexus Putrajaya itu mengetepikan dua pencabar dari Indonesia, Velentino
Lumentah dan Ferry Wahyu Hadiyanto untuk menghadiahkan emas ketiga buat
ekuestrian sepanjang temasya di Myanmar.
Woon Khe Wei-Vivian Hoo pula
menceriakan kontinjen Malaysia di Stadium Tertutup Wunna Theikdi apabila
menghadiahkan emas tidak diduga dalam acara beregu wanita selepas mengejutkan
pasangan berpengalaman dan pilihan utama dari Indonesia, Krishinda Nitya
Maheswari-Greysia Polii 21-17, 18-21, 21-17 dalam pertarungan sengit yang
berlarutan sehingga 1 jam, 15 minit.
Semalam, Malaysia turut meraih
lima perak menerusi acara menembak air pistol berpasukan wanita (Wahidah
Ismail, Bibiana Ng, Joseline Cheah), Sharmendran (karate bawah 67kg lelaki),
Sazali Samad (bina badan 70kg), renang 4. 4x100m gaya bebas lelaki dan petinju
harapan, G. Ramkumar (tinju 69kg). - Mingguan
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131215/su_01/8-emas-berkilau-di-Myanmar#ixzz2nUc5F5Aa
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment