Badminton akhirnya raih emas
Woon Khe Wei (kanan) dan Vivian
Hoo berpelukan selepas melakar kejutan ke atas pilihan utama dari Indonesia,
Nitya Krishinda-Greysia Polii dalam perlawanan akhir beregu wanita Sukan SEA di
Stadium Tertutup Wunna Theikdi, semalam.
NAY PYI TAW - Selepas
mengharungi musim tidak menentu, Woon Khe Wei-Vivian Hoo menutup 2013 dengan
kejayaan paling manis apabila melakar kejutan terbesar Sukan SEA dengan
merangkul kejuaraan beregu wanita di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, semalam.
Ketika harapan yang disandarkan
kepada pemain lelaki gagal dipenuhi, Khe Wei-Vivian tampil menyelamatkan maruah
badminton negara apabila mengejutkan pilihan utama dari Indonesia, Nitya
Krishinda-Greysia Polii dalam perlawanan akhir.
Kali terakhir Malaysia
memenangi emas dalam acara ini ialah melalui Chin Eei Hui-Wong Pei Tty di Laos
2009, tetapi semalam Vivian-Khe Wei berjaya mengikut jejak langkah mereka
selepas berhempas selama satu jam 15 minit untuk mencatat kemenangan 21-17,
18-21, 21-17.
Kemenangan tersebut amat
bermakna buat kedua-dua pemain kerana mereka telah mengharungi pahit manis,
jatuh bangun bersama sepanjang tahun ini dan akhirnya penantian untuk meraih
kejuaraan terlaksana di Sukan SEA Myanmar.
Mereka begitu tenang di
gelanggang sejak set pertama, tetapi memasuki set kedua rentak serangan mereka
seakan terhenti walaupun pada satu ketika pernah mendahului 16-13 sebelum lawan
mengejar dan tewas set kedua 18-21.
Pada set penentuan Khe Wei dan
Vivian tidak menoleh ke belakang lagi apabila meninggalkan lawan dengan
kelebihan lima mata sebelum menghabiskan perlawanan dengan sempurna.
"Kami jatuh dan bangun
tahun ini, jadi kemenangan ini sangat baik buat kami. Kunci utama kami boleh
berjaya adalah kami dahaga kemenangan. Pingat emas ini bukan untuk diri saya
sendiri tetapi untuk negara," kata Vivian, 23.
Lebih menyentuh perasaan, Vivian
menganggap pingat emas yang dimenanginya itu layak ditujukan kepada Khe Wei
yang kembali bangkit tahun ini selepas mengalami kecederaan tahun lepas di
bahagian buku lali dan lutut kiri.
"Kemenangan ini sangat
bererti. Sebenarnya banyak orang saya mahu sebut tetapi saya rasa pingat emas
ini adalah untuk pasangan saya, kerana dia selalu cedera, sebelum bangkit
dengan bekerja keras," katanya lagi.
Sementara itu, Khe Wei pula
gembira kerana memenangi emas buat Malaysia tetapi tidak mahu peminat badminton
menganggap bahawa dia adalah pengganti kepada Eei Hui-Pei Tty.
"Kami mahu menjadi diri
kami sendiri iaitu Vivian-Khe Wei, kami adalah yang terbaik dan mahu terus
cemerlang pada masa akan datang," katanya.
Indonesia masih boleh berbangga
walapun tewas dalam beregu wanita selepas meraih tiga emas melalui beregu
lelaki, Angga Pratama-Agung Saputro Ryan, yang mengalahkan rakan senegara,
Berry Angriawan-Ricky Karanda Suwardi 21-13, 17-21, 21-17.
Perseorangan wanita mereka,
Bellaetrix Manuputty mengalahkan pilihan kedua, Busanan Ongbamrungphan 9-21,
21-13, 21-13, manakala satu lagi emas diraih melalui beregu campuran, Muhammad
Rizal-Debby Susanto. - MINGGUAN
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131215/su_02/Badminton-akhirnya-raih-emas#ixzz2nUeytTOF
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment