SELEPAS Rundingan Baling pada
penghujung 1955 gagal mencapai kata sepakat, anggota Parti Komunis Malaya (PKM)
menjadi semakin lemah dan hidup dalam pelarian kerana menerima tekanan yang
hebat daripada pasukan keselamatan.
Ketua unit penggempur (assault
unit) yang sangat dikehendaki pihak berkuasa, Cheung Thian Thye atau lebih
dikenali sebagai Chong Chor pernah mengharapkan rundingan itu berjaya namun
setelah gagal dia terpaksa kembali ke dalam hutan membantu operasi PKM di
daerah tengah pada tahun 1956.
Sebaik-baik sahaja dia kembali
ke Daerah Tengah, dua ketua Min Yuen iaitu Lee Yan di Tanjung Tualang dan Chee
Wah di Tronoh masing-masing menyerah kepada pasukan keselamatan serta terbunuh.
"Ketiadaan mereka ini
menyebabkan usaha PKM untuk meneruskan aktiviti terbantut," kata Chong
Chor dalam fail sulit mengenai kebimbangannya tentang pengaruh dan kuasa PKM
yang semakin lemah.
Tekanan yang diberikan pasukan
keselamatan semakin hebat. Mereka melancarkan 'Op Ginger' pada awal 1958 di
Perak untuk melumpuhkan pergerakan komunis di daerah utara, tengah dan selatan.
Semua pergerakan Min Yuen dan
pasukan PKM dibanteras oleh pasukan keselamatan sehingga menyukarkan mereka
untuk mencari makanan.
Pergerakan kumpulan ini semakin
terbatas, mereka perlu bergerak dari satu kem daerah ke satu kem untuk mencari
bekalan makanan. Ramai ketua dan anggota PKM terbunuh termasuk isteri Chong
Chor iaitu Wong Pik Lian pada Jun 1958.
Anggota PKM termasuk Chong Chor
hidup dalam pelarian kerana selepas Op Ginger, pasukan keselamatan
menggantikannya dengan Op Bintang dan ini memaksa mereka berundur ke selatan
Thailand.
Di selatan Thailand, Chong Chor
dan pasukannya berbincang tentang peluang pasukan itu yang dilihat semakin
lemah sehingga terpaksa berundur ke selatan Thailand.
Mereka juga mengaku bahawa PKM
semakin lemah, tidak mampu untuk menentang pasukan keselamatan dan hanya
menunggu masa untuk berkubur.
Dalam pertemuan itu, Ah Sek
(salah seorang pemimpin Jawatankuasa PKM) memaklumkan bahawa pasukan itu
membuat satu dasar baharu iaitu membenarkan mana-mana anggotanya untuk
meninggalkan pasukan.
Tiga kategori mereka yang
dibenarkan meninggalkan PKM adalah anggota yang sudah hilang semangat dalam
perjuangan; anggota yang tua atau sakit serta tidak mampu lagi berjuang dan
yang ketiga, anggota yang berhasrat untuk pulang ke China, Thailand atau Tanah
Melayu untuk bersama keluarga mereka.
Ah Sek meletakkan beberapa
syarat kepada anggota yang berhasrat meninggalkan parti iaitu mereka tidak
dibenarkan menyerah diri sama ada kepada pihak berkuasa Tanah Melayu atau
Thailand.
Mana-mana anggota yang keluar
pasukan juga dilarang membocorkan rahsia mereka kepada pasukan keselamatan jika
ditangkap, perlu menjauhi daripada sebarang aktiviti yang boleh mencurigakan
kegiatan mereka sebelum ini dan akan menerima bayaran sebanyak 3,000 baht.
Bagi Chong Chor, peraturan baru
yang diperkenalkan itu menyebabkan PKM perlu menyediakan sesi pengambilan,
latihan dan tunjuk ajar bagi membentuk pasukan dan anggota yang baru untuk
meneruskan perjuangan mereka.
Baginya walaupun PKM dilihat
semakin lemah, dia tetap menyokong perjuangan PKM dan mengambil keputusan untuk
meneruskan perjuangan.
Salah satu usaha dilakukan oleh
Chong Chor dan rakan PKM untuk meningkatkan sokongan perjuangan mereka adalah
mempengaruhi penoreh getah di sekitar Banyee Rai di Betong untuk melancarkan
mogok.
Mogok itu dicadangkan berikutan
kadar baru yang ditetapkan tidak setara iaitu penoreh memperoleh 40 peratus
hasil manakala pemilik kebun bakal memperoleh 60 peratus. (Sebelum ini
kedua-dua pihak berkongsi keuntungan 50-50).
Dengan persetujuan Ah Sek, PKM
bersetuju untuk meneruskan rancangan mereka mempengaruhi penoreh getah untuk
melancarkan mogok.
Mogok yang dirancang itu cuma
berjalan selama sebulan dan sekali lagi menemui kegagalan. Cita-cita PKM untuk
meluaskan pengaruh mereka dalam kalangan penoreh getah ternyata sia-sia.
Penoreh getah terpaksa meneruskan pekerjaan mereka kerana dibelenggu
kemiskinan.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131213/re_07/Komunis-hidup-dalam-pelarian#ixzz2nT7A5Su0
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment