ANTARA tapak ekskavasi yang
dipagar untuk tujuan pelancongan di halaman Galeri Arkeologi Lenggong.
LEMBAH Lenggong satu ketika
dahulu mempunyai iklim savana tropika yang kering. Iklim itu menjadikan kawasan
tersebut ditumbuhi rumput seperti mana padang savana yang terdapat di benua
Afrika sekarang.
Kewujudan iklim itu merupakan
antara tarikan penduduk zaman batu untuk menetap di sekitar lembah berkenaan.
Faktor tarikan lain adalah
kewujudan tasik kuno Chenderoh yang kaya dengan ikan, sekali gus menjadi sumber
makanan penting kepada masyarakat purba yang hidup sebelum 1.83 juta tahun
dahulu (td) di Lembah Lenggong. Di samping itu, wujud juga teres berkelikir
sungai yang menyediakan bahan mentah untuk membuat alat batu.
Tinjauan S2 mendapati wujudnya
bengkel alat batu di kawasan yang dinamakan Bukit Bunuh yang terletak di tepi
Sungai Perak.
Bukit tersebut pernah mengalami
impak meteorit kira-kira 1.83 juta td berdasarkan penemuan bukti batuan baru
iaitu batu suevit.
Seorang pelajar program Ijazah
Sarjana Sastera (Arkeogeologi), Universiti Sains Malaysia (USM), Nor
Khairunnisa Talib (gambar), 28, berkata, penemuan kapak genggam di dalam batuan
suevit oleh Profesor Dr. Mokhtar Saidin menunjukkan wujudnya kebudayaan Paleolitik
yang berusia lebih daripada 1.83 juta td, manakala penemuan yang dilakukannya
pula adalah kebudayaan Paleolitik yang berusia 500,000 td.
Beliau yang ditemui S2 di Bukit
Bunuh berkata, kerja-kerja ekskavasi yang dijalankannya di tapak tersebut
adalah antara tahun 2008 hingga 2010.
"Ada lima petak ekskavasi
bersaiz 2x2 meter. Satu daripada petak tersebut menyimpan bukti alat batu
berusia 500,000 td.
"Petak lain menunjukkan
bukti berusia 200,000 td. Antara bukti paling unik adalah penemuan batu jenis
metasedimen kerijangan iaitu sejenis batu yang terhasil daripada impak
meteorit.
"Akibat impak tersebut,
batu yang terlebur telah membentuk batu baharu yang mempunyai ciri-ciri batu
yang biasa ditemui di laut dalam," katanya.
Menurutnya, kajian yang dilakukannya
turut menemukan bukti bahawa Lembah Lenggong sebelum 10,000 td adalah beriklim
jenis savana tropika.
"Selepas tahun itu, iklim
sekitar mengalami perubahan dari semasa ke semasa sehingga kita memperoleh
cuaca sekarang. Dalam bidang arkeologi, iklim sekarang diletakkan dalam
kategori iklim panas dan lembap," tambahnya.
Ditanya kenapa perubahan iklim
itu berlaku, katanya, ia akibat perubahan cuaca dunia iaitu suhu yang semakin
panas telah menyebabkan pencairan ais di benua Antartika dan Artik.
Akibat pencairan tersebut,
paras laut meningkat, sekali gus mengubah keseluruhan struktur iklim dunia.
Selain itu, katanya, proses
mengambil sampel tanah dari petak-petak ekskavasi di Bukit Bunuh untuk tujuan
pentarikhan agak rumit. Pentarikhan yang diaplikasikan bagi penentuan usia
sampel menggunakan kaedah pandau kilau ransangan optik (Optically Stimulated
Luminescence, OSL).
"Ia perlu dilakukan pada
waktu malam kerana sinaran matahari boleh merosakkan sampel.
"Proses mengorek sampel
juga dilakukan dalam keadaan gelap gelita tanpa bantuan cahaya lampu suluh
kerana cahaya itu juga boleh merosakkan sampel.
"Permukaan petak turut
ditutup untuk mengelak cahaya bulan mengenai sampel yang dikutip. Biasanya,
saya suruh pelajar lelaki masuk ke dalam petak untuk mengambil sampel,"
katanya.
Beliau menjelaskan kesemua
sampel yang diambil termasuk tanah kemudiannya dibungkus dengan tape hitam, PVC
dan suratkhabar.
"Dengan cara itu, kita
boleh menentukan bila kali terakhir sampel itu terdedah pada cahaya
matahari," katanya yang memberitahu kesemua sampel itu dihantar ke Korea
Basic Science Lab di Seoul, Korea Selatan untuk pentarikhan.
Beliau menegaskan penemuan artifak
batu dan rangka manusia purba di Lembah Lenggong sangat penting dalam kajian
pergerakan manusia terawal, sekali gus membuktikan kepentingan Malaysia dalam
bidang arkeologi global.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131214/re_10/Lenggong-pernah-alami-iklim-savana#ixzz2nT4l4FwK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment