MASYARAKAT kuno yang hidup pada
zaman Paleolitik iaitu zaman prasejarah yang bermula sejak kemunculan manusia
sehingga sekitar 10,000 tahun dahulu (td) sudah mampu menguasai teknologi dalam
pembuatan alat batu.
Tahap pemikiran mereka ketika
itu menunjukkan mereka boleh membuat penilaian dalam memilih jenis batuan untuk
dijadikan alat.
Malah kajian di Lembah Lenggong
mendedahkan manusia prasejarah di Malaysia turut melakukan perubahan dalam
pelbagai bentuk untuk kemajuan mereka pada zaman tersebut.
Seorang pelajar program Ijazah
Sarjana Sastera (Arkeogeologi), Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Asikin
Rashidi , 31, berkata, kajian yang dilakukannya di Bukit Bunuh menunjukkan
masyarakat prasejarah sudah boleh berfikir dalam membuat pemilihan jenis batu yang
sesuai dijadikan alat untuk memotong, menetak, melandas dan lain-lain.
"Ada banyak jenis alat
batu yang ditemui di Bukit Bunuh, antaranya alat penetak, alat melapah, kapak
genggam dan lain-lain.
"Ia ditemui berselerak
dalam satu-satu kawasan yang menunjukkan kawasan itu telah dijadikan bengkel
untuk membuat alat batu.
"Penemuan berbagai jenis
dan bentuk alat batu itu menunjukkan mereka mampu berfikir tentang kesesuaian
batu untuk dijadikan alat.
"Misalnya, percubaan
pertama terhadap batu jenis A mendapati ia sangat keras dan sukar ditajamkan.
Maka, mereka akan beralih pada batu lain sehingga akhirnya menemui jenis batu
yang mudah untuk dibentuk," katanya kepada S2.
Beliau yang mengkhusus dalam
kajian di kawasan terbuka mendapati, masyarakat prasejarah di Lembah Lenggong
juga sudah bijak memotong hujung cengkerang siput untuk memudahkan mereka
mengeluarkan isinya.
"Masyarakat prasejarah
yang pandai memotong cengkerang siput ini tinggal di dalam gua (tapak
tertutup).
"Kesan bakar pada
cengkerang itu pula menunjukkan masyarakat prasejarah di Lembah Lenggong telah
mula menggunakan api untuk memasak makanan," ujarnya yang merupakan bekas
pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sains Geologi, Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM).
Berhasrat meneruskan pengajian
di peringkat ijazah kedoktoran, Nur Asikin memberitahu beliau mula melakukan
kajian survei, pemetaan dan kajian terperinci pada batuan di Bukit Bunuh sejak
tahun 2008 sehingga sekarang.
Mengulas mengenai impak
meteorit di Bukit Bunuh daripada aspek geologi pula, katanya, terdapat enam
bukti yang ditemui di sekitar bukit tersebut.
Antara bukti itu adalah
penemuan kon pecah iaitu struktur makro dalam penghasilan meteorit ada berlaku,
struktur mikro yang ditemui dalam batu kuarza yang tak biasa terdapat pada batu
kuarza di tempat lain.
"Ini kerana batu kuarza di
Bukit Bunuh telah terdedah pada impak meteroit kira-kira 1.83 juta tahun dahulu
(td). Selain itu, bukti impak meteorit jenis komplek adalah kehadiran bukti
leburan serta mineral bertekanan tinggi akibat impak meteorit seperti koesit
dan stishovit.
"Bukti lain adalah jenis
batuan yang mana buat pertama kali di Asia ditemui batu suevit. Batu ini hanya
terdapat di Bukit Bunuh sahaja dan ia terbentuk hasil daripada leburan impak
meteroit.
"Setakat ini tidak ditemui
batuan suevit di tempat lain di Asia kecuali di Bukit Bunuh, Lenggong,"
katanya.
Dalam pada itu, katanya,
manusia prasejarah berevolusi dari zaman Paleolitik ke zaman Neolitik (zaman
prasejarah yang dicirikan dengan kemunculan tembikar sebagai tanda permulaan
aktiviti pertanian dan penternakan) dan zaman Gangsa (zaman prasejarah yang
dicirikan dengan penggunaan peralatan logam seperti gangsa dan besi).
"Kepentingan kajian
arkeologi adalah ia menghasilkan urutan kebudayaan yang panjang di Asia.
Teknologi yang dihasilkan terdahulu menjadi asas kepada kemajuan yang kita kecapi
sekarang," katanya.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131214/re_11/Sudah-ada-teknologi-alat-batu#ixzz2nT3MnVtp
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment