Nay Pyi Taw: Doa dan solat
hajat sehari sebelum perlawanan seperti yang dilakukan dalam dua perlawanan
terawal di peringkat kumpulan menjadi senjata ampuh buat skuad bawah 23 tahun
negara untuk meneruskan rentak kemenangan.
Barisan pemain negara akan
turun menentang Singapura hari ini di Stadium Zeyer Thiri selepas berjaya
menewaskan Brunei dan Laos sebelum ini dengan kemenangan akan memastikan
kemaraan Malaysia ke separuh akhir.
Pengendali skuad negara Datuk
Ong Kim Swee, menegaskan beliau akan memberi tumpuan kepada percaturan strategi
yang lebih berkesan dan tiada perubahan besar dalam kesebelasan utama ketika
menentang Singapura.
“Seperti yang saya jangka
perlawanan esok (hari ini) sangat penting dengan kemenangan akan membolehkan
kita mara ke separuh akhir.
“Inilah yang menjadi tujuan
utama kita dan pemain memang memahami tugas yang lebih mencabar esok (hari
ini). Saya hanya menurunkan pemain yang berada pada tahap terbaik saja bagi
memastikan serangan lebih bermutu dapat dilakukan,” kata Kim Swee.
Kim Swee turut menegaskan
pemain perlu mengambil kesempatan terhadap faktor keletihan kerana Singapura
akan turun bermain pada perlawanan keempat dan terakhir berbanding Malaysia
yang memasuki aksi ketiga.
“Namun pemain tidak boleh
terburu-buru walaupun mahu mengambil kesempatan kerana mereka perlu mengikut
rentak dan strategi yang sudah diatur,” katanya.
Kim Swee turut berwaspada
terhadap beberapa pemain lawan seperti Hariss Harun, Shahfiq Ghani, Muhammad
Zulfahmi Mohd Arifin, Mohd Safuwan Baharudin dan Sahil Suhaimi yang sudah
meledak tiga gol untuk Singapura pada temasya kali ini.
A Thamil Arasu yang sebelum ini
beraksi di bahagian sayap pada dua perlawanan awal dijangka kembali sebagai
penyerang tengah untuk bergandingan bersama Ahmad Hazwan Bakri yang meledak
hatrik ketika bertemu Laos.
Irfan Fazail pula dijangka
bergandingan bersama Mohd Nasir Basharudin di bahagian tengah dengan Ashri
Chuchu di sayap kiri dan D Sarindran di sayap kanan manakala Mohd Zubir Azmi
akan kembali menguatkan pertahanan negara.
RUJUKAN METRO AHAD : 2013/12/15
No comments:
Post a Comment