A. Thamil Arasu (tengah)
dijangka menjadi pilihan untuk menguatkan jentera serangan Harimau Muda apabila
menentang Singapura dalam perlawanan ketiga Kumpulan A hari ini.
NAY PYI TAW - Menang dan layak
ke separuh akhir. Itu formula mudah buat pasukan Harimau Muda apabila turun
menentang Singapura dalam perlawanan ketiga Kumpulan A di Stadium Zeyar Thiri,
hari ini.
Kemenangan ke atas Singapura
akan mengesahkan tiket ke peringkat empat terbaik, sekali gus mengurangkan
tekanan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee apabila turun menentang Vietnam dalam
perlawanan terakhir kumpulan, Selasa depan.
Misi untuk mencari tiga mata
bagaimanapun dilihat bukan sesuatu yang mudah buat pasukan negara kerana perlu
berdepan kekebalan tembok pertahanan lawan yang dianggap sebagai nadi kekuatan
Singapura.
Hakikat itu disedari oleh Kim
Swee, yang mahu anak-anak buahnya bekerja lebih keras jika mahu melayakkan diri
lebih awal tanpa perlu menunggu pertemuan terakhir menentang Vietnam.
"Pertahanan Singapura yang
ditunjangi Mohd. Safuwan Baharudin dan Mohd. Zulfahmi Mohd. Arifin saya lihat
mampu membaca serangan pihak lawan dengan baik dalam dua perlawanan lalu.
"Begitu juga dengan Hariss
Harun yang bertindak selaku pemain bertahan di bahagian tengah. Ketika kita
bertemu mereka dua tahun lalu, dia antara pemain utama yang sering bertindak
menutup ruang.
"Bagi saya, pemain
Singapura berkualiti. Lihatlah aksi mereka dalam Liga Super, mereka bukan
sebuah pasukan yang cepat panik dan begitu matang," katanya ketika ditemui
pada sesi latihan Harimau Muda di Stadium Nay Pyi Taw FC, semalam.
Begitupun Kim Swee berkata,
faktor utama yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain negara hari ini
adalah tahap kecergasan lawan yang sedikit menurun kerana telah beraksi dalam
tiga perlawanan setakat ini.
"Mereka akan turun dalam
perlawanan terakhir iaitu aksi keempat dalam tempoh 10 hari, jadi dalam aspek
ini kita ada kelebihan.
"Cuma kita tidak boleh
terburu-buru dan jangan terlalu mengikut rentak lawan yang mempunyai daya
taktikal begitu baik," katanya lagi.
Kim Swee dijangka terus
berhelah mengenai strategi yang bakal digunakan selepas menampilkan A. Thamil
Arasu selaku penyerang utama semasa sesi latihan, semalam.
Selain itu, beliau dijangka
tidak akan menukar sebahagian besar kesebelasan utama yang diturunkan ketika menumpaskan
Laos 4-1 kelmarin, di mana Ahmad Hazwan Bakri dan D. Saarvindran terus diberi
kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama.
Singapura yang menduduki tangga
teratas dengan tujuh mata memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri dengan
Malaysia untuk layak ke separuh akhir. - MINGGUAN
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131215/su_05/Tumbangkan-Singapura-kita-ke-separuh-akhir#ixzz2nUkyq2f0
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment