Ad

Saturday, 14 December 2013

Daniel kembali menggegar kolam renang

NAY PYI TAW - Selepas terpaksa melupakan Sukan SEA Indonesia 2011 akibat kecederaan bahu, Daniel Bego kembali ke kolam renang dengan cemerlang apabila merangkul pingat emas 400 meter gaya bebas lelaki, semalam.

Malah, hari Malaysia di Pusat Akuatik Wunna Theikdi turut diceriakan dengan sebutir lagi emas yang disumbangkan perenang senior, Khoo Cai Lin dalam 800m gaya bebas wanita.

Daniel, 24, yang tidak dicabar sejak awal perlumbaan mencatat masa 3 minit 54.89 saat untuk mengetepikan perenang Vietnam, Phuoc Hoang Quy (3:57:73). Gangsa milik Tannakrit Kittiya dari Thailand dengan 3:59:00s.

Seorang lagi perenang negara, Kevin Yeap yang merupakan pemegang rekod kebangsaan sekadar mampu menamatkan cabaran di tempat kelima.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya kali ini kerana akhirnya saya kembali ke podium dan mendapat pingat emas.

“Saya tahu jika bermula dengan agresif pada awal perlumbaan, saya mampu mengawal perlumbaan dan inilah keputusan yang saya harapkan.

“Walaupun begitu, saya rasa mampu lakukan lebih baik kerana catatan masa terpantas saya adalah 0.1 saat daripada apa yang saya lakukan hari ini," kata Daniel.

Perenang kelahiran Sarawak itu akan meneruskan cabaran negara dalam acara 200 meter gaya bebas hari ini.

Cai Lin pula mengembalikan kembali gelaran juara 800m Sukan SEA yang dimenanginya pada edisi 2007 dan 2009 apabila mengetepikan cabaran perenang Thailand, Benjaporn Sriphanomthorn.Dia menang selepas mencatat 8:49.51 saat, sementara Sriphanomthorn (8:49:61) dan Nguyen Thi Anh Vien dari Vietnam mendapat gangsa, (8:52:77).Walaupun beraksi dalam sedikit kesakitan di perut, Cai Lin mampu bertahan dengan baik biarpun perenang Thailand itu hampir memintasnya.

“Peserta Thailand semakin banyak menunjukkan peningkatan dan saya memang diberi tentangan cukup sengit sehingga habis perlumbaan walaupun saya tidak begitu cergas pada hari ini.Bagi tahun ini, catatan masa yang saya lakukan adalah yang terbaik dan saya benar-benar berpuas hati," katanya. - MINGGUAN

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131215/su_03/Daniel-kembali-menggegar-kolam-renang#ixzz2nUiC4NeQ © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment