Ad

Wednesday, 18 December 2013

Jangan gentar dendam Garuda

Ashri Chuchu
NAY PYI TAW - Dua kali dimalukan di kandang sendiri pada Sukan SEA 2011, Indonesia pasti turun dengan misi mahu melunaskan dendam ke atas barisan kendalian Datuk Ong Kim Swee pada pertembungan separuh akhir Sukan SEA Myanmar ke 27, hari ini.

Namun, barisan Harimau Muda sama sekali tidak akan berasa gentar dengan semangat tinggi yang mahu ditunjukkan oleh Garuda Muda, malah bersedia memanjangkan tempoh penderitaan Indonesia itu dengan menyingkirkan mereka daripada beraksi di pentas akhir.

Bukan bersikap terlalu yakin, cuma melihat kepada karakter yang ditunjukkan ketika menentang Vietnam dan Singapura pada dua perlawanan terakhir, disiplin yang ditunjukkan oleh anak-anak buah Kim Swee pasti boleh menjerat Indonesia memasuki perangkap.

‘‘Mereka sehingga kini masih belum dapat menerima kekalahan yang dialami dua tahun lalu di tempat sendiri dan saya pasti mereka kini mendapat ekstra motivasi untuk mengalahkan kita menjelang pertemuan esok (hari ini).

‘‘Saya juga mungkin lebih suka berada di tempat mereka kerana mereka pasti berazam tinggi untuk menang namun kita juga mempunyai misi kita tersendiri iaitu mempertahankan pingat emas.

‘‘Andik Vermansyah dan Diego Muhammad, adalah dua pemain yang perlu diberikan perhatian, kita mesti mencari jalan untuk menutup ruang buat mereka bergerak bebas, " kata Kim Swee.

Semalam, Kim Swee sekali lagi memilih untuk menggunakan perkarangan hotel penginapan sebagai gelanggang latihan dalam persediaan menghadapi Indonesia.

Beliau mengakui, Garuda Muda bagaikan mendapat satu tonik selepas membuat kejutan menyingkirkan tuan rumah, Myanmar.

‘‘Jangan sama sekali ambil mudah cabaran Indonesia, tambahan mereka sudah kembali mendapat keyakinan selepas mengalahkan Myanmar," ujarnya lagi.

Malah, Indonesia juga mendapat sedikit kelebihan apabila berehat selama satu hari berbanding skuad negara tetapi itu tidak membimbangkan Kim Swee.

Cuma, misi untuk membenam Indonesia petang ini terpaksa dilakukan tanpa K. Reuben yang digantung satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning dalam saingan peringkat kumpulan.

Sebagai pengganti, Kim Swee berkemungkinan akan meletakkan Mohd. Azrif Nasrulhaq atau Mohd. Nasir Basharuddin di posisi bek kanan.

‘‘Ketiadaan Reuben tidak bermakna saya tiada pemain setanding yang boleh memainkan peranannya, saya masih boleh memilih Nasir atau Azrif untuk bermain di bahagian bek kanan.

‘‘Situasi ini hampir sama seperti saya lalui dua tahun lalu apabila Asraruddin Putra Omar tidak boleh beraksi di pentas akhir dan saya terpaksa menggunakan Mohd. Zubir Azmi, " katanya.

Jika skuad negara ketiadaan Reuben, Indonesia juga terpaksa melupakan pemain tengah, Dedi Kusnandar yang turut digantung satu perlawanan.

Indonesia yang layak selaku naib juara Kumpulan B, hanya menjaringkan tiga gol sepanjang empat perlawanan dan meraih tujuh mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Myanmar serta Kemboja dan seri 0-0 menentang Timor Leste. - UTUSAN
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131219/su_03/Jangan-gentar-dendam-Garuda#ixzz2ns5gaEs9 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment