Ad

Wednesday, 18 December 2013

Nauraj muncul ‘Raja Kesembilan’

 Nauraj Singh Randhawa meraikan kejayaan merangkul pingat emas lompat tinggi di Stadium Utama Wunna Theik, semalam.
NAY PYI TAW - Nauraj Singh Randhawa mengekalkan dominasi Malaysia dalam acara lompat tinggi di Sukan SEA apabila merangkul pinngat emas dengan lompatan 2.17 meter di Stadium Wunna Theikdi semalam.

Biarpun gagal dalam cubaan memecahkan rekod Sukan SEA dan memperbaharui catatan peribadi terbaik, namun itu tidak menghalang Nauraj untuk mengekalkan emas yang sudah dikuasai Malaysia sejak 1977. Hanya sekali saja kita terlepas gelaran iaitu di Filipina pada 2005.

Pingat perak acara tersebut diraih Van Thuy Dao dari Vietnam yang melakukan lompatan 2.13m, manakala Thailand melalui Pramote Pumurai juga melakukan catatan yang sama tetapi dibezakan dengan jumlah lompatan.

Seorang lagi wakil negara, S. Navinraj menduduki tempat kelima (2.09m).

Nauraj mengakui, tiada apa yang lebih menggembirakan selain bergelar ‘Raja Kesembilan’ dalam acara lompat tinggi di Asia Tenggara selepas Zainal Salleh, Baljit Singh Sidhu, Ho Yoon Wah, Ramjit Nairulal, Lou Cwee Peng, S. Kesavan, Loo Kum Zee dan Lee Hup Wei terlebih dulu mencipta kegemilangan buat Malaysia.

Malah secara kebetulan, maksud namanya dalam bahasa Hindi, Nauraj adalah Raja Kesembilan dan semalam dia membuktikannya bahawa pemilihannya ke Myanmar adalah tepat sekali.

“Saya gagal untuk memecah rekod temasya ketika cuba melakukan lompatan pada ketinggian 2.25m, tetapi pingat emas ini sudah cukup menggembirakan. Ia untuk negara, jurulatih dan keluarga saya," katanya.

Ditanya adakah dia terganggu dengan perubahan jadual pada saat akhir, pelajar Universiti Malaya itu berkata, dia hanya mahu berfikiran positif.

“Sebenarnya mereka memberitahu kami acara ini akan bermula sejam awal, jadi saya masuk ke padang tanpa memanaskan badan dan hanya melakukannya di atas trek, tetapi saya anggap ia sebagai cabaran yang perlu dihadapi untuk menjadi juara," ujarnya.

Dalam pada itu, Harith Ammar Mohd. Sobri melakar kejutan apabila meraih perak dalam acara 200m lelaki selepas mencatat masa 21.46s.

Seorang lagi wakil negara, Mohd. Shamimi Azmi sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh 21.72s.Emas milik atlet Thailand, Jirapong Meenapra dengan catatan 21.29s dan gangsa diraih Trong Hinh Le dari Vietnam (21.47s). - UTUSAN

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131219/su_02/Nauraj-muncul-Raja-Kesembilan#ixzz2ns3weBEm © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment