NAZREEN (kanan) menang pingat
emas dalam acara terjun 10 meter platform lelaki semalam sementara rakannya,
Tze Liang menang pingat perak.
NAY PYI TAW, Myanmar - Penerjun
negara tidak perlu menunggu lama untuk memulakan pesta emas di Pusat Akuatik
Wunna Theikdi apabila menyapu bersih dua pingat emas yang ditawarkan pada hari
pertama gelanggang acara tersebut dibuka, semalam.
Pingat pertama acara terjun
diraih menerusi Cheong Jun Hoong, 23, dalam acara 3 meter papan anjal wanita
selepas memungut 327.15 mata daripada lima terjunan yang dilakukannya.
Ini sekali gus membolehkan
penerjun veteran negara itu mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di
Indonesia dua tahun lalu.
"Saya tidak sangka masih
mampu menang emas di Sukan SEA. Usia mungkin tidak lagi memihak kepada saya.
Tetapi saya percaya Malaysia akan kekal sebagai kuasa acara terjun untuk
beberapa tahun lagi," katanya yang masih mahu terus aktif mewakili negara
tahun depan.
Pingat perak turut menjadi
milik Malaysia menerusi Ng Yan Yee, 20, yang mengumpul 323.10 mata manakala
gangsa diraih penerjun Indonesia, Indah Eka Purna (240.35 mata).
Malaysia turut menguasai
kedudukan 1-2 dalam acara 10 meter platform lelaki apabila Muhammad Nazreen
Abdullah menyumbang emas kedua berturut-turut daripada sukan terjun semalam.
Nazreen, 15, mengumpul 398.05
mata daripada enam terjunan untuk menewaskan rakan senegara yang lebih tua
usianya iaitu Ooi Tze Liang, 20, yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua
dengan 397.20 mata manakala penerjun Indonesia, Putra Adityo Restu (338 mata),
ketiga.
"Ini hadiah hari lahir
saya paling bermakna tahun ini. Saya harap dapat mengikut jejak Bryan (Nickson
Lomas) untuk menyumbang lebih banyak pingat untuk negara selepas ini,"
katanya yang menyambut hari lahir pada 22 November lalu.
Hari ini, dua lagi acara akhir
akan dipertandingkan dengan ratu terjun negara, Pandelela Rinong akan turun
beraksi dalam acara 10 meter platform wanita bersama Loh Zhiayi diikuti Tze
Liang dan Chew Yi Wei dalam acara 3 meter papan anjal lelaki.
KOSMO ONLINE 19.12.2013
No comments:
Post a Comment