skuad sepak takraw negara
terpaksa berpuas hati meraih pingat perak selepas tewas kepada musuh tradisi,
Thailand dalam acara regu di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw,
semalam. Malaysia tewas 16-21, 8-21.
NAY PYI TAW - Kejutan yang
diharapkan dalam acara terakhir sepak takraw, regu lelaki tidak kesampaian
apabila mereka tewas dalam 0-2 kepada gergasi Asia Tenggara, Thailand di
Stadium Tertutup Wunna Theikdi, semalam.
Pasukan negara yang diketuai
Mohd. Muqlis Borhan (apit kiri), Mohd. Hanafiah Dolah (apit kanan) dan Izurin
Refin (tekong) cuba memberi saingan sengit pada set pertama, namun kecundang
dengan keputusan 16-21.
Harapan untuk melihat pemain
negara bangkit dan memberi cabaran sengit pada set kedua tidak berlaku
sebaliknya mereka tewas 8-21 kepada regu Thailand yang diketuai Pattarapong
Yupadee (apit kiri), Pornchai Kaokew (apit kanan) dan Siriwat Sakha (tekong).
Ini bermakna Malaysia terus
kempunan untuk meraih emas, yang mana kali terakhir kita muncul juara pada
Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.
Turut mencuri tumpuan semalam
adalah keadaan tegang yang berlaku sebaik sahaja perlawanan akhir tersebut
tamat.
Pengurus pasukan, Zamry Fareed
Mohd. Norden dan seorang wartawan Malaysia (bukan Kumpulan Utusan) berperang
mulut dan hampir mencetuskan pergaduhan, yang dikatakan berpunca daripada
laporan 'keras' wartawan terbabit.
Berikutan insiden tersebut
ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan mengambil masa yang lama untuk memberi
kenyataan kepada media tetapi selepas itu dia tenang menjawab segala soalan
yang diajukan wartawan.
Katanya, pencapaian dalam acara
regu kali ini lebih baik berbanding di Palembang, (Sukan SEA 2011), di mana
mereka hanya meraih pingat gangsa tetapi sekurang-kurangnya semalam memenangi
pingat perak.
"Kami cuma terkilan kerana
terlepas pingat emas. Pada set pertama, pemain-pemain beraksi dengan baik
berbanding di set kedua," katanya kepada media di Stadium Wunna Tertutup
Wunna Theikdi semalam.
Jelasnya, pemain telah berusaha
bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan ini tetapi pengalaman menjadi
perbezaan antara kedua-dua regu.
"Kebanyakan pemain masih
muda dan kurang pengalaman, manakala pemain Thailand ada yang telah berusia
lebih 30 tahun. Itu adalah kelebihan mereka untuk menang.
"Saya yakin sekiranya
pemain negara diberi banyak pendedahan di peringkat antarabangsa, mereka mampu
menjadi lebih hebat pada masa akan datang," katanya.
Ditanya mengenai aksi Izurin
semalam, Jamaluddin mengakui servis yang dilakukan pemain itu tidak menjadi.
"Memang sasarannya dah
betul, tinggal lagi tidak menjadi sahaja. Kalau dilihat sebelum-sebelum ini,
sepakan servis yang diambilnya sangat baik tapi hari ini (semalam) kurang
sikit.
"Setiap kali servis yang
diperoleh, mereka tidak mampu mengutip mata berbanding Thailand. Daripada tiga
servis yang dilakukan, mereka pasti dapat satu mata. Itu yang memberikan
kelebihan kepada regu lawan. Itulah perbezaan antara Siriwat dan Izurin,"
katanya.
Ujarnya, dari segi kawalan bola
juga tidak banyak perbezaan, di mana pengalaman menjadi perbezaan antara
kedua-dua pasukan. - UTUSAN
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131217/su_03/Kejutan-emas-tidak-menjadi#ixzz2ngSSyVaZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment