Ad

Monday, 16 December 2013

Pasak dalam kepala

NAY PYI TAW - Misi memburu jaringan gol awal perlu disematkan dalam setiap minda pemain Harimau Muda yang akan menentang Vietnam di Stadium Zeyar Thiri, petang ini bagi memburu slot separuh akhir acara bola sepak.

Jangan sesekali memikirkan mencari keputusan seri, pasukan Harimau Muda perlu menampilkan perwatakan sang juara bagi menyekat Vietnam.

Tegas jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee, sekiranya para pemainnya mampu mendapatkan gol awal, ia akan memberi kelebihan besar buat mereka kerana bakal memberikan tekanan kepada lawan.

‘‘Jika kita mendahului perlawanan itu nanti, saya rasa peluang kita begitu cerah cuma saya harap para pemain jangan bersikap sambil lewa.

‘‘Kita perlu mengekalkan fokus terhadap permainan sehingga minit-minit terakhir dan saya kena ingatkan pemain, misi kita bukan hanya sekadar turun mendapatkan satu mata sahaja.

‘‘Apa jua perkara berlaku tanpa diduga memandangkan Vietnam adalah sebuah lawan yang mempunyai semangat juang yang tinggi," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di pekarangan Hotel Golden Guest, semalam.

Vietnam sememangnya menjadi lawan yang cukup digeruni oleh Harimau Muda walaupun tewas kepada Singapura, 0-1 kerana telahmeledak sebanyak 12 jaringan dalam tiga perlawanan terakhir.

Skuad kendalian Hoang Van Phuc itu membelasah Brunei, 7-0 dan Laos, 5-0 serta mengutip enam mata terdesak memerlukan kemenangan bagi melayakkan diri ke separuh akhir.

Ketua pasukan Vietnam, Nguyen Van Quyet bakal menjadi ancaman terbesar kepada skuad negara kerana dianggap sebagai pemain yang cukup prolifik oleh Kim Swee.

‘‘Bagi saya pemain nombor 10 (Van Quyet), adalah seorang pemain yang begitu baik dan kita tidak boleh membiarkan dia bergerak bebas.

‘‘Bahagian serangan mereka begitu hidup sama ada di sebelah kiri atau kanan dan tidak boleh sesekali membiarkan mereka melakukan serangan balas," katanya.

Semua pemain termasuk A. Thamil Arasu yang mendapat kecederaan tangan ketika bertemu Singapura bebas daripada sebarang masalah kecederaan dan boleh beraksi.

Sementara itu, kontinjen negara gagal meneruskan rentak cemerlang pada hari keenam apabila sekadar menambah satu pingat emas, semalam.

Pemanah Olimpik, Khairul Anuar Mohamad memberikan sedikit keceriaan buat negara apabila meraih emas tunggal negara semalam melalui acara recurve individu lelaki, namun ia adalah kejayaan yang sudah dijangka kerana dia bertemu rakan senegara, Atiq Bazil Bakri dengan mencatat kemenangan 7-1.

Turut menyumbang pingat dalam acara memanah ialah Mohd. Zaki Mahazam-Saritha Cham Nong yang meraih perak dalam acara compound campuran, Saritha juga meraih gangsa apabila mengalahkan rakan senegara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dalam penentuan tempat ketiga-keempat.

Acara memanah dijangka terus memberikan sumbangan pingat buat negara dengan sekurang-kurangnya dua emas hari ini dalam acara recurve berpasukan lelaki dan juga recurve campuran.

Hari suram semalam turut disulami dengan kegagalan berterusan skuad sepak takraw negara yang kempunan pingat emas sebaliknya, meraih perak dalam acara regu lelaki selepas tewas kepada gergasi Asia Tenggara, Thailand 2-0.

Sementara itu, acara renang menutup tirai semalam tanpa kilauan emas dari Pusat Akuatik Wunna Theikdi dengan hanya satu perak daripada Daniel Bego menerusi acara 200 meter gaya bebas, menjadikan keseluruhan emas yang diraih perenang negara masing-masing empat emas dan perak serta tiga gangsa.

Semalam juga menyaksikan acara berbasikal berjaya menamatkan kemarau pingat Sukan SEA 2013 apabila meraih gangsa dalam acara ujian masa berpasukan lelaki yang dibarisi Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi, Muhammad Rauf Nur Misbah, Mohd. Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli.

Atlet berbasikal negara masih mempunyai harapan untuk menyumbang pingat apabila berlangsungnya acara lebuh raya wanita hari ini yang mana harapan diletakkan kepada pelumba serba boleh, Masziyaton Mohd. Radzi.

Turut menyumbangkan pingat gangsa adalah angkat berat yang berlangsung di Yangon apabila atlet kelahiran Perlis, Mohd. Faiz Musa dalam kategori lelaki 94 kilogram dengan angkatan 308kg.

Hoki lelaki dan wanita semalam terus cemerlang dengan berada di kelas tersendiri dengan pasukan lelaki membelasah Thailand 13-0, manakala pasukan wanita pula menewaskan Singapura 8-1. - UTUSAN

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131217/su_01/Pasak-dalam-kepala#ixzz2ngRLRxw8 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment