Ad

Monday, 16 December 2013

Khairy ragui emas Harimau Muda

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD  -sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan kebimbangan dengan aksi goyah pasukan Harimau Muda yang terpaksa mengikat Singapura 1-1 dalam perlawanan Kumpulan A bola sepak Sukan SEA di Nay Pyi Taw, kelmarin.
Keputusan perlawanan yang menangguhkan kemaraan Malaysia ke separuh akhir itu, turut menghakis keyakinan beliau untuk berpegang kepada ramalan sebelum ini bahawa mereka mampu terus mempertahankan pingat emas.
Sekiranya kalah mengejut kepada naib juara 2009, Vietnam dalam perlawanan terakhir hari ini, skuad bawah 23 tahun itu bakal mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada emas mahupun sebarang pingat lain Sukan SEA Nay Pyi Taw.
"Aksi mereka agak goyah (dengan Singapura, semalam). Saya pun tidak pasti (dapat pertahankan emas)," katanya selepas menyaksikan perjanjian persefahaman kementerian dengan Intel Malaysia Sdn. Bhd. di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.
Barisan bimbingan Datuk Ong Kim Swee nyaris tumbang kelmarin sebelum diselamatkan jaringan penyamaan menerusi sepakan bebas Rozaimi Abd. Rahman dari luar petak penalti pada minit ke-90.
Namun, Khairy Jamaluddin masih yakin dengan kemampuan kontinjen negara untuk menggapai sasaran 40 emas keseluruhan selepas beberapa jenis sukan tertentu menjadi penyelamat dan penampung prospek emas yang terlepas.
"Kita masih boleh capai 40 emas. Ada sukan macam sepaktakraw yang sepatutnya dapat emas tetapi tidak dapat lalu ditampung oleh sukan ekuestrian dan menembak serta olahraga," katanya.
Mengenai pencapaian tempat keempat skuad hoki remaja negara pada Piala Dunia Remaja di New Delhi, katanya: "Inilah salah satu berita sukan terbaik sepanjang tahun ini. Saya amat bangga dengan mereka.
"Saya harap pasukan ini apabila (meningkat) menjadi senior, akan buat benda yang sama (mencapai kejayaan peringkat dunia). Jangan pula 'hancur' selepas ini, saya tidak mahu (kegagalan sebelumnya) berulang.
"Saya akan menyambut kepulangan mereka di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang) pukul 5.30 pagi esok (hari ini)," katanya mengulas pencapaian barisan bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah selepas tewas kepada Belanda 7-2 pada penentuan tempat ketiga, kelmarin.
Mereka mengulangi pencapaian seperti edisi 1979, 1982 dan 1985 selepas menewaskan New Zealand 3-2, Afrika Selatan 2-1, England 4-2 (Kumpulan D), Korea Selatan 2-1 (suku akhir) namun dihampakan Perancis menerusi penalti 3-1 (separuh akhir).


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131217/su_02/Khairy-ragui-emas-Harimau-Muda#ixzz2ngQQT5bo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment