Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
PENYERANG Malaysia,
Mohamad Syamin Mohd. Yusof tersungkur selepas diasak dua pemain New Zealand
dalam aksi pembukaan Piala Dunia Remaja di New Delhi, India semalam. Malaysia
menang 3-2.
KUALA LUMPUR - Malaysia
memulakan aksi pertama dengan langkah kanan setelah melakar kemenangan ke atas
New Zealand 3-2 dalam perlawanan Kumpulan D pada Piala Dunia Remaja di New
Delhi, India, semalam.
Kemenangan yang amat
diperlukan oleh anak-anak buah jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah itu
untuk dijadikan sebagai suntikan moral tidak diraih dengan mudah apabila New
Zealand memberi tentangan sengit sejak awal permainan lagi.
Namun, Malaysia terlebih
dahulu berada di depan apabila Muhammad Shahril Saabah meledakkan gol sulung
buat skuad negara menerusi pukulan sudut penalti yang dilakar pada minit ke-6.
Bagaimanapun, kegembiraan
Malaysia tidak kekal lama apabila New Zealand yang berjaya mendapatkan pukulan
sudut penalti menyamakan kedudukan melalui Kane Russel pada minit ke-11.
Pasukan negara melipat
gandakan asakan menerusi permainan kemas yang dipamerkan barisan pemain remaja
Malaysia, namun pergerakan mereka disekat oleh pertahanan dari negara Kiwi itu
daripada menambah koleksi gol. Kedudukan 1-1, kekal sehingga babak pertama
berakhir.
Malaysia yang bermula
agresif sebaik separuh masa kedua dimulakan, tidak perlu menunggu lama untuk
menyumbat gol kedua apabila gerakan pantas yang dilakukan Muhammad Rashid
Baharom berjaya menghasilkan gol padang ketika permainan baru dua minit
berlangsung.
Ketinggalan 1-2 ternyata
menyentak skuad bimbingan Grant Edwards yang melancarkan serangan bertali arus
ke kubu Malaysia bagi memburu gol penyamaan. Usaha keras New Zealand akhirnya
berhasil apabila Russel yang sekali lagi menjadi duri dalam daging buat
Malaysia meledakkan gol penyamaan pada minit ke-47.
Skuad kebangsaan yang
menyedari kemenangan amat diperlukan oleh mereka pada perlawanan pertama
tersebut tidak berputus asa memburu gol kemenangan dan penantian itu berjaya
dijelmakan oleh Muhammad Firhan Ashari yang menyempurnakan pukulan sudut
penalti ketika permainan hanya berbaki tujuh minit untuk tamat.
Keputusan 3-2 itu kekal
sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil dan tiga mata berharga berjaya
diraih skuad remaja negara yang akan turun beraksi menentang Afrika Selatan,
esok.
Sementara itu, Muhammad
Dharma melahirkan rasa lega kerana anak-anak buahnya berjaya meraih kemenangan
sulung yang mampu dijadikan suntikan semangat bagi menghadapi perlawanan
berikut.
"Saya menjangkakan
permainan akan bermula perlahan dan para pemain saya pula kelihatan gemuruh,
tetapi memang cukup melegakan apabila kita berjaya meraih tiga mata penuh. Kami
akan berehat esok (hari ini) dan perlu bersedia untuk perlawanan hari Ahad
menentang Afrika Selatan," katanya.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131207/su_01/Malaysia-langkah-kanan#ixzz2mkGxO3rS
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment