Ad

Friday, 6 December 2013

Separuh akhir tidak mustahil

Jacob Joseph (kanan) memberi amanat terakhir kepada skuad bola sepak wanita negara yang akan beraksi di Sukan SEA Myanmar, semalam.
KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Jacob Joseph yakin sasaran ke separuh akhir mampu dicapai oleh anak didiknya pada Sukan SEA di Myanmar nanti.

Beliau berkata, sasaran berkenaan adalah realistik berdasarkan persembahan yang ditunjukkan pemain dalam beberapa aksi persahabatan yang diadakan dengan Vietnam dan Thailand.

"Saingan memang sengit kerana mereka (pasukan lain) ada liga masing-masing tapi saya yakin dengan semangat melawan yang tinggi serta kerjasama yang erat di kalangan pemain, sasaran ke separuh akhir mampu dicapai," katanya.

Jacob bagaimanapun mengingatkan anak didiknya supaya berwaspada dengan beberapa pasukan lain seperti Thailand dan Laos yang mampu menggugat peluang skuad negara ke separuh akhir.

"Saya difahamkan Laos bakal menurunkan tiga pemain yang beraksi di Liga Jepun, selain Thailand yang bakal membariskan pemain terkuat daripada liga mereka. Bagi saya pemain tidak harus leka ketika berhadapan dengan dua pasukan ini," katanya.

Jacob turut berharap pemainnya dapat memanfaatkan kem motivasi serta sesi latihan pusat yang diadakan di Teluk Intan, Perak sejak awal tahun ini dalam memburu slot ke separuh akhir.

"Saya yakin pengalaman lalu di mana kita menjadi pasukan belasahan pada saingan Sukan SEA yang lepas telah memberi pengajaran yang berguna kepada kita," katanya.

Berkongsi pandangan yang sama ialah kapten skuad Angela Kais yang melaungkan keyakinan rakan sepasukannya mampu memberikan cabaran sengit kepada negara lain walaupun majoriti daripada mereka adalah muka baharu.

Katanya kehadiran beberapa pemain senior yang masih kekal beraksi bersama skuad kebangsaan mampu membimbing pemain muda dalam menghadapi saingan Sukan SEA. - BERNAMA

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131207/su_04/Separuh-akhir-tidak-mustahil#ixzz2mkIR8w00 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment