Oleh FERZALFIE FAUZI
dan SUFIAN HADI SOJAK -sukan@utusan.com.my
Khairy Jamaluddin bersama atlet negara yang
bakal membawa cabaran pada Sukan SEA Myanmar dalam majlis penyerahan Jalur
Gemilang di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.
KUALA LUMPUR - Anda
bukan sahaja atlet tetapi duta negara di Sukan SEA 2013." Itu kata-kata
semangat yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kepada
kontinjen negara yang akan beraksi di temasya dwi
tahunan tersebut dari 11 hingga 22 Disember ini di Nay Pyi Taw dan Yangon.
Khairy berkata, walaupun
datang sebagai atlet Sukan SEA tetapi kesemua yang beraksi di sana adalah duta
tanah air yang akan berjalan bangga dengan baju kebangsaan (celoreng harimau)
dan tersemat di dada lencana jalur gemilang.
Biar negara lain di Asia Tenggara yang mengambil bahagian
melihat sekali lagi kehadiran kita dengan berbaju harimau, jadi mereka akan
sedar bahawa Malaysia sudah tiba di Myanmar untuk menawan temasya ini,"
katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen
negara yang akan ke Sukan SEA 2013 Myanmar semalam.
Jelasnya, apabila atlet
negara meninggalkan padang, kolam dan gelanggang pencabar negara lain akan meraih
satu pengalaman bahawa mereka sekarang ini sedang berdepan dengan juara Sukan
SEA.
Saya ingin mengucapkan selamat berjuang dan lakukan yang
terbaik buat semua, saya sentiasa berdoa setiap hari, setiap malam kepada anda
semua. Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan
Negara (ISN) dan persatuan sukan sudah buat yang terbaik kepada saudara dan
saudari sekalian.
Kami minta maaf jika ada sebarang kekurangan tetapi tidak
kira acara apa yang anda sertai kami bangga kerana anda semua mewakili
Malaysia. Walaupun kita tidak menang semua pertandingan tetapi biarlah negara
kita menjadi yang terbaik di Asia Tenggara, pentas ini bukannya pencapaian
tertinggi kita, anda semua harus terus memandang ke depan untuk melihat Sukan
Asia, Komanwel dan Olimpik kerana itu matlamat sebenar kita tetapi biarlah
perjalanan ini bermula dari temasya ini," katanya.
Ujarnya, semua atlet harus
ingat kepada keluarga dan rakyat Malaysia bahawa harapan tinggi diletakkan
kepada mereka dan jangan sesekali mudah menyerah kalah, kerana semua mahukan
Malaysia membawa pulang kejayaan.
Sukan sudah pastinya tidak diukur dalam kejayaan sesebuah
negara, banyak perkara lain lagi seperti ekonomi dan sebagainya namun bila
menyebut soal hati dan emosi rakyat ia boleh digerakkan sekiranya anda mendapat
kejayaan di atas gelanggang, jadi buktikan kepada negara Asia Tenggara yang
lain bahawa sekali lagi Malaysia akan menjadi yang terbaik.
Seperti mana yang kita tahu sukan amat dekat dengan hati
rakyat, harapan mereka memang tinggi tetapi harapan menteri lagi tinggi kepada
saudara dan saudari namun saya tidak hendak meletakkan tekanan yang terlalu
besar di bahu anda. Sekiranya membuat persiapan rapi dan terbaik untuk
menghadapi apa jua saingan dan cabaran keputusannya pasti akan datang,"
katanya.
Tambahnya, latihan telah
dilakukan dengan sepenuh jiwa raga, dedikasi, iltizam dan komitmen tinggi jadi
sudah pastinya di sana atlet Malaysia akan mencatat keputusan cemerlang.
Kontinjen negara diketuai
Chef-de-Mission, Datuk Wira Amiruddin Embi bersama 336 atlet lelaki, 220 atlet
wanita dan 199 pegawai dan mengambil bahagian dalam 29 daripada 33 acara yang
dipertandingkan seperti akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, biliard
& snuker, bina badan, bola keranjang, bola sepak, bola tampar, catur,
ekuestrian, golf, hoki, judo, kanu, karate, memanah, menembak, silat,
pelayaran, petanque, ping pong sepak takraw, taekwando, tinju dan wusyu.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131206/su_02/Tunjukkan-mereka-siapa-kita---Khairy#ixzz2me1LNI14
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment