Ad

Tuesday, 7 January 2014

“TIDAK pernah terlintas langsung di fikiran saya untuk berhijrah

“Selagi khidmat saya diperlukan, saya tidak akan meninggalkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).”

Demikian jelas pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee sekali gus menamatkan spekulasi berhubung masa depannya bersama badan induk itu selepas ini.

Biarpun dikatakan bukan lagi calon pilihan bagi menyandang tugas selaku pengendali tetap Harimau Malaya selepas ini, Kim Swee tetap tidak melatah dan kekal komited melaksanakan peranannya sebagai pengendali sementara.

Pada masa sama, beliau juga menafikan desas-desus bakal berhijrah mengendalikan skuad bola sepak Myanmar jika tidak lagi mendapat mandat menerajui Harimau Muda A selepas ini.

“Wang ringgit bukan ukuran, sehingga kini saya juga belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana pasukan termasuk Myanmar.

“Sejujurnya, saya cukup bangga jika kekal membantu pembangunan bola sepak negara terutamanya mengenal pasti bakat-bakat muda.

“Jika saya masih diperlukan FAM, saya tidak akan pergi ke mana-mana,” jelas beliau kepada Kosmo! kelmarin.

Polemik berhubung masa depan Kim Swee mula tercetus selepas FAM mengesahkan bakal mengumumkan jurulatih baharu Harimau Malaya selewat-lewatnya penghujung bulan ini.

Antara calon-calon hangat yang disebut-sebut menyandang ‘kerusi panas’ itu termasuklah jurulatih kelahiran Perancis, Phillippe Troussier.

Disebabkan itu, majoriti peminat fanatik tempatan khuatir Kim Swee bakal ‘disambar’ Persatuan Bola Sepak Myanmar (MFF) bagi menggantikan Park Sung-Hwa yang dipecat ekoran kegagalan mereka ke separuh akhir temasya Sukan SEA baru-baru ini.

Difahamkan, MFF sanggup menawarkan habuan lebih lumayan kepada Kim Swee dengan gaji bulanan melebihi AS$70,000 (RM224,280).

Ketika ini, Kim Swee menggalas tugas selaku pengendali sementara Harimau Malaya selepas kontrak Datuk K. Rajagobal tidak lagi disambung FAM bulan lalu.

Mengulas lanjut, Kim Swee memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin bagi membincangkan perkara itu.

“Saya akan berjumpa Datuk (Hamidin) Selasa (hari ini) bagi mengetahui peranan saya selepas ini.

“Apa juga keputusan, hanya akan dibuat selepas saya bertemu FAM,” jelas Kim Swee yang masih belum menandatangani kontrak baharu selepas berakhirnya temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar baru-baru ini.

SUMBER KOSMO ONLINE 7.1.14

No comments:

Post a Comment