Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my
KETUA jurulatih pasukan Johor
Darul Takzim 1 (JDT 1), Cesar Ferrando Jimenez mengakui status pemain bintang
bukan keutamaannya untuk menyenaraikan kesebelasan utama bagi mengharungi
kempen Liga Malaysia (Liga M) 2014 yang bakal membuka tirainya pada 17 Januari
ini.
Sebaliknya, pengendali dari
Sepanyol itu menjelaskan bahawa fokus utama yang bermain dalam fikirannya
ketika ini ialah untuk memastikan JDT 1 mencatat kemenangan dalam setiap
perlawanan yang mereka harungi.
Bercakap kepada pemberita pada
sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan antara Harimau Selatan dengan
Pelita Bandung malam ini, Jimenez turut optimis anak-anak buahnya memiliki
peluang yang cerah untuk menamatkan kemarau trofi mereka sekiranya mampu
mengekalkan konsistensi seperti yang dipamerkan dalam tiga aksi persahabatan
sebelum ini.
"Saya tidak akan melihat
kepada status (bintang) pemain itu semata-mata, kerana bagi saya ia bukan
perkara penting dalam sesuatu pasukan.
"Apa yang saya mahu
fokuskan ialah kami perlu mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan.
"Saya jamin setiap pemain
pasukan ini akan turun ber juang habis-habisan untuk menaikkan nama JDT 1 dan
beraksi lebih baik dalam setiap perlawanan demi penyokong fanatik kami,"
ujar Jimenez semalam.
Musim ini, JDT 1 dilabel
sebagai pasukan pilihan untuk menggegar Liga Malaysia apabila membawa masuk dua
pemain berkelas dunia, Pablo Aimar dan Luciano Figueroa bagi memperkuatkan
cabaran yang sebelum ini digalas pemain-pemain kebangsaan seperti Mohd. Safee
Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim dan ramai lagi.
Menjelang aksi persahabatan
keempat dengan kelab In donesia, Pelita Bandung di Stadium Tan Sri Hasan Yunos
Larkin, malam ini, bekas jurulatih kelab Atletico Madrid itu mengakui beliau
bakal menurunkan barisan terkuat bagi melihat tahap sebenar kemampuan
pasukannya.
Di bawah bimbingannya, Harimau
Selatan telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam tiga aksi
terdahulu dengan mencatat kemenangan 7-1 ke atas Tampin Rovers, 3-0 ke atas
Hougang United dan terbaharu, menang 4-1 ke atas Melaka United FC (Sabtu
lepas).
"Bagi saya perlawanan
(dengan Pelita Bandung) ini amat penting bagi menilai tahap sebenar pasukan
ini.
"Kami masih lagi dalam
proses membina sebuah pasukan yang mantap dan aksi malam esok (hari ini) adalah
masa terbaik untuk saya menurunkan skuad terkuat yang kami ada,"
tambahnya.
Selepas aksi dengan Pelita
Bandung, JDT 1 akan turun pada aksi persahabatan terakhir dengan menentang
kelab Singapura, Home United FC, Sabtu ini.
SUMBER KOSMO ONLINE 7.1.14
No comments:
Post a Comment