Oleh FERZALFIE FAUZI dan SUFIAN
HADI MOHD. SOJAK
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Lee Chong Wei membalas pukulan
pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus dalam perlawanan pusingan pertama
Terbuka Malaysia di Bukit Jalil malam tadi. Chong Wei menang 21-7, 21-13 dalam
tempoh 34 minit . - UTUSAN/Aizzul A.Majid
KUALA LUMPUR - Hanya Datuk Lee
Chong Wei sahaja yang akan meneruskan cabaran negara dalam persaingan
perseorangan kejohanan badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Bukit
Jalil selepas dua lagi wakil, Liew Daren dan Chong Wei Feng terkandas di
pusingan pertama semalam.
Chong Wei, yang merupakan
pemain pilihan pertama, tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan pemain
Denmark, Hans-Kristian Vittinghus 21-7, 21-13 dalam tempoh 34 minit.
Menunggunya di pusingan kedua hari ini ialah pemain China, Wang Zhengming.
Bagaimanapun, Chong Wei
mengakui bahawa dia tidak memberikan persembahan terbaiknya semalam, namun
masih mampu untuk menang kerana lawannya juga kurang memberikan saingan sengit
dan kurang pengalaman.
"Bertemu Zhengming esok
(hari ini) mungkin sedikit sukar, tetapi saya harap mampu memberikan permainan
terbaik bagi perlawanan kedua saya untuk kejohanan ini," katanya selepas
perlawanan.
Ditanya mengenai rakan-rakan
lain yang sudah terkandas, Chong Wei berkata, dia akan cuba untuk menutup
keputusan buruk itu dengan memberikan permainan terbaik di hadapan penyokong
sendiri.
"Saya tahu penonton akan
datang menyaksikan kami bermain dan saya akan lebih bersemangat, bagi saya
selepas ini kami perlu memikirkan tentang kejohanan akan datang terutama sekali
All England tetapi untuk Terbuka Malaysia saya cuba memberikan yang
terbaik," katanya.
Daren tewas straight set kepada
Du Pengyu dari China, 14-21, 13-21 dan mengakui bahawa dia masih lagi berasa
sedikit gementar di dalam gelanggang kerana baru pulih daripada kecederaan buku
lali dan hamstring.
"Saya juga melakukan
banyak kesilapan dan masih lagi berasa takut kerana baru pulih daripada
kecederaan, jadi saya bermain dengan lebih berhati-hati. Saya tidak tahu bila
perasaan ini boleh hilang tetapi saya harap secepat mungkin," katanya.
Ditanya adakah dia tertekan
dengan harapan dan teguran yang diberikan peminat badminton serta jurulatih
perseorangan, Daren berkata, tekanan itu sangat berguna dan dia akan cuba
sebaik mungkin untuk berada sebaris dengan Chong Wei.
Daren yang kini menduduki
ranking ke-29 dunia meletakkan sasaran untuk berada dalam kalangan 20 pemain
terbaik dan meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan tahun ini.
Seorang lagi perseorangan
negara, Wei Feng pula kalah kepada Sho Sasaki dari Jepun 13-21, 19-21, dalam
tempoh 43 minit.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140116/su_02/Chong-Wei-mara-Daren-Wei-Feng-terkandas#ixzz2qYT7dbCH
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment