Ad

Thursday, 16 January 2014

V Shem-Khim Wah kejutkan pilihan ke-2

 Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my
Lim Khim Wah (kanan) dan Goh V Shem meraikan kejayaan mereka menewaskan beregu Denmark, Mathis Boe-Carsten Mogensen 24-22, 17-21, 21-18 dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Aizzul A. Majid
KUALA LUMPUR - Rekod kekalahan awal pasangan beregu negara semakin menebal apabila Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong disekat oleh lawan masing-masing dalam pusingan pertama kejohanan badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Bukit Jalil.

Bagaimanapun, kekalahan kedua-dua pasangan beregu negara itu sedikit-sebanyak ditebus oleh gandingan Goh V Shem-Lim Khi Wah yang mengejutkan pilihan kedua dari Denmark, Mathias Boe- Carsten Mogensen 24-22, 17-21, 21-18.

V Shem-Khim Wah akan bertemu pemain Thailand, Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech di pusingan kedua hari ini.

Kemenangan yang dicatatkan V Shem-Khim Wah pada perlawanan terakhir di Stadium Putra malam tadi menceriakan kembali kem negara yang sebelumnya dikecewakan oleh aksi kurang memberangsangkan Kien Keat-Boon Heong dan Thien How-Wee Kiong.

Kedua-duanya tersingkir di pusingan pertama kejohanan dan lebih malang mereka kalah tanpa melawan serta tewas kepada bukan pemain pilihan.

Kien Keat-Boon Heong yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan tundak kepada beregu China, Chai Biao-Hong Wei 17-21, 14-21 dalam tempoh 36 minit, tetapi apabila ditanya mengapa mereka tidak mampu beraksi sebaik mungkin tiada jawapan konkrit yang diberikan.

Kien Keat menyatakan mereka memang tidak boleh memberikan alasan kenapa tewas mudah dan tidak melawan, tetapi dalam masa yang sama dia dilihat berselindung tentang apa sebenarnya yang berlaku di dalam ataupun sebelum perlawanan bermula.

"Saya tidak mahu memberi alasan, kalau lagi banyak alasan saya beri orang akan sentiasa bercakap tentang saya. Ini adalah hal di antara kami sendiri...bukan kami ada masalah tetapi saya sukar untuk menjelaskannya," katanya selepas perlawanan.

"Saya tidak tahu mengapa (kalah), ini adalah situasi yang sedih, perlawanan dan persekitaran yang teruk, saya tidak tahu kenapa, mungkin ada sesuatu tetapi saya tidak mahu bercakap mengenainya," katanya lagi.

Sementara itu, pasangan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong seakan terkedu selepas dimalukan oleh beregu tidak terkenak Chris Langridge-Peter Mills dari England dengan 21-18, 19-21, 20-22.

Sebaik tiba di meja sidang media, kedua-dua pemain tersebut ternyata kecewa dengan aksi yang diberikan tatkala harapan diletakkan kepada mereka untuk mara jauh dalam kejohanan ini kerana mendapat undian mudah.

"Kami tidak dapat fokus masa akhir perlawanan, banyak sangat fikir dan masa awal lagi sudah tiada rasa ghairah (untuk menang), seperti kami kehilangan sesuatu," kata Wee Kiong yang diletakkan sebagai pasangan pilihan kelapan bersama Thien How.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140116/su_03/V-Shem-Khim-Wah-kejutkan-pilihan-ke-2#ixzz2qYVbRQqh © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment