KUALA LUMPUR - Meskipun
dihimpit kecederaan, namun pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying tetap
memberi komitmen baik kepada gandingannya, Chan Peng Soon untuk menang pada
pusingan pertama Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014 semalam.
Liu Ying-Peng Soon menewaskan
beregu campuran dari Indonesia, Muhammad Rizal-Vita Marissa, 23-21, 17-21,
21-10 dalam aksi sungguh dramatik sehingga mengambil masa selama satu jam.
Pasangan pilihan keenam itu
pada awal permainan tampak begitu yakin namun bagaikan hilang tumpuan pada set
kedua sehingga diheret ke babak penentuan.
Menurut Liu Ying, semasa di set
penentuan, dia dan Peng Soon sempat mengatur strategi dan mengubah corak permainan
bagi mengelirukan pihak lawan.
"Saya rasa rentak
permainan pada set kedua sedikit terjejas disebabkan kecederaan saya. Memang
saya terus hilang fokus waktu itu.
"Kami mengubah taktik
untuk mengalih perhatian pihak lawan dan sakit saya ini. Nampaknya berjaya.
"Selepas ini, saya harap
dapat kekal konsisten seperti perlawanan tadi," ujarnya yang mengalami
masalah kecederaan miniscus lutut kanan dan tisu koyak pada ACL di kedua-dua
belah lututnya itu.
Menunggu mereka hari ini ialah
pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Debby Susanto sementara rakan senegara, Ong
Jian Guo-Lim Yin Loo pula akan menentang Sudket Prapakamol- Saralee
Thoungthongkam dari Thailand bagi merebut slot ke suku akhir.
Sementara itu, satu-satunya
wakil negara dalam acara perseorangan wanita, Tee Jing Yi terkandas pada
pusingan pertama setelah tumpas kepada pemain China, Yao Xue, 21-16, 21-14.
Dalam acara beregu wanita,
pemenang pingat emas Sukan SEA Myanmar 2013, Vivian Hoo-Woon Khe Wei disekat
oleh pasangan China, Ma Jin-Tang Yuan Ting, 21-16, 21-12.
Kini, hanya tinggal dua wakil
negara dalam acara beregu wanita iaitu Amelia Anscelly-Soong Fie Choo dan Lee
Meng Yean-Lim Yin Loo yang masing-masing akan bertemu, Pia Zebadiah
Bernadeth-Rizki Amelia Pradipta dari Indonesia dan Tian Qing-Zhao Yunlei
(China).
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140116/su_04/Liu-Ying-menang-dalam-kesakitan#ixzz2qYXKeKVn
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment