Ad

Monday, 6 January 2014

'Rahsia' jersi baharu The Red Warriors bocor

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terkejut apabila jersi The Red Warriors musim ini yang bakal dilancarkan pada 15 Januari ini tersebar secara meluas di laman sosial facebook sejak beberapa hari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif TRW Sdn. Bhd., Kevin Ramalingam ketika dihubungi mengesahkan jersi yang tersebar di laman sosial itu adalah reka bentuk yang akan dipakai oleh pasukan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Menurutnya, pihaknya terkejut bagaimana reka bentuk jersi tersebut boleh tersebar secara meluas sedangkan ia masih belum lagi dipertontonkan kepada umum.

"Kita memandang serius masalah ini dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui bagaimana maklumat ini boleh bocor.

"Bila reka bentuk ini tersebar dan mula dicetak maka pasukan kita akan mengalami kerugian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Masalah ini turut mendapat perhatian bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui satu kenyataan dalam akaun facebook miliknya mengakui terkilan maklumat tersebut bocor.

Menurut Annuar, KAFA memberi jaminan jersi tulen lebih berkualiti kerana menggunakan bahan khas.

"Sedih dimaklumkan reka bentuk jersi The Red Warriors dah bocor dan jersi tiruan sedang dibuat di kilang di negara jiran.

"Mujurnya bahan yang tulen tak dapat dicetak kerana kita tenun khas dan eksklusif. Saya galakkan penyokong beli yang tulen," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kelvin memberitahu, setiap tahun KAFA mengalami kerugian hampir RM2.4juta berikutan jualan jersi cetak rompak.

"Setiap tahun hampir 300,000 helai jersi TRW berada di pasaran, namun hanya 50,000 hingga 60,000 helai saja yang tulen. Selebihnya adalah jersi tiruan.

"Jersi yang dikeluarkan TRW Sdn. Bhd. menggunakan kain lebih berkualiti berbanding tiruan, malah kita harap penyokong dapat membantu pasukan dengan membeli jersi tulen," ujarnya.

SUMBER RUJUKAN : http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140106/su_03/Rahsia-jersi-baharu-The-Red-Warriors-bocor#ixzz2pdJM9uo9 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment