Ad

Monday, 6 January 2014

Abu Bakar tuntut Zayar tingkat kecergasan

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
utusanperak@utusan.com.my
 
Kyaw Zayar Win menjadi senjata utama Perak mengharungi musim baharu Liga Malaysia.
IPOH - Aksi pertama Kyaw Zayar Win bersama skuad Seladang ketika menentang PDRM di Stadium Perak, kelmarin tidak mengecewakan, namun Ketua Jurulatih, Abu Bakar Fadzim agak resah dengan tahap kecergasan kapten skuad Bawah 23 Tahun Myanmar itu.

Sepanjang 45 minit pertama beraksi dalam perlawanan kelmarin, Zayar Win membuktikan kemampuannya menggerakkan bahagian tengah, namun untuk aksi 90 minit, pemain itu nampaknya belum cukup bersedia.

Rehat panjang selama dua minggu sebaik sahaja berakhirnya Sukan SEA di Myanmar bulan lalu, menjadi punca utama Zayar Win tidak berada pada tahap kecergasan terbaik.

Bagi Abu Bakar, ia bukanlah masalah besar kerana pemain itu masih ada masa untuk mencapai tahap kecergasan penuh, apatah lagi dia baru sahaja tiba di sini Jumaat lalu.

"Saya kagum dengan komitmennya yang tetap mahu beraksi dalam perlawanan malam ini walaupun dia baru sahaja tiba di sini, kelmarin.

"Berdasarkan aksinya malam ini, saya yakin Zayar Win mampu memberikan impak kepada pasukan. Para peminat sendiri telah pun menyaksikan kemampuannya dalam perlawanan malam ini.

"Saya percaya dia mampu memberikan yang lebih baik jika keadaan kecergasannya berada pada tahap terbaik. Ketika ini dia belum cergas sepenuhnya kerana baru sahaja kembali ke padang setelah berehat dua minggu selepas beraksi pada Sukan SEA.

"Saya akan memberikannya masa untuk dia betul-betul cergas. Saya percaya menjelang sepak mula Liga Super menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 18 Januari ini, dia sudah cukup bersedia," katanya selepas perlawanan persahabatan menentang PDRM di sini kelmarin yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Zayar Win, 23, yang menandatangani kontrak bersama Perak sebelum Sukan SEA baru-baru ini, hanya menyertai skuad Perak pada Jumaat lalu.

Zayar Win merupakan antara empat pemain import skuad Seladang musim ini yang turut menyambar pemain Burkina Faso, Martin Kafando; pemain Bosnia, Zelemir Terkes dan pemain Brazil, Eliel da Cruz Guardiano.

Sementara itu, aksi persahabatan pra musim kelmarin penting buat Abu Bakar kerana buat pertama kali dia dapat menurunkan skuad penuh ekoran ketibaan Zayar Win.

Menurutnya, ia merupakan kesempatan terbaik untuk dia menilai tahap persediaan semua pemain menjelang pembukaan Liga Super tidak lama lagi.

"Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan persembahan pasukan terutama bahagian pertahanan yang dilihat begitu baik. Pemain berusia 20 tahun dari skuad Piala Presiden, Mohammad Raffi Nagoorgani dapat membentuk persefahaman yang baik dengan pemain import, Kafando di bahagian pertahanan.

"Bagi posisi serangan pula, saya menaruh harap kepada Terkes sambil dibantu Zayar Win.

"Saya masih ada masa untuk membentuk skuad yang benar-benar sebelum saingan Liga Super bermula," katanya.

Setakat lapan perlawanan persahabatan pra-musim yang dilalui skuad Seladang, mereka menang empat kali dan seri dalam empat lagi perlawanan.

Perlawanan persahabatan terakhir yang akan dilalui oleh Perak sebelum Liga Super bermula ialah menentang Perlis di Stadium Perak, Rabu ini.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140106/su_04/Abu-Bakar-tuntut-Zayar-tingkat-kecergasan#ixzz2pdKeIATn © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment