Ad

Monday, 6 January 2014

Nama baru akan dipanggil?

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Taufek Abdul Razak, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia
KUALA LUMPUR - Nasib tujuh pemain Kuala Lumpur sama ada akan menyertai lima rakan mereka dan tiga pegawai pasukan yang telah digantung seumur hidup atas dakwaan rasuah serta mengatur perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini, dijangka diketahui hari ini.

Namun begitu, pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Taufek Abdul Razak ketika dihubungi berkata, tiada jaminan 100 peratus keputusan dapat diberikan hari ini sebaik soal siasat membabitkan dua lagi pemain, S. Sivaraj dan Amirul Asraf Mohd. Noor selesai kerana beliau tidak menolak kemungkinan akan ada nama baharu dipanggil.

Tambahnya, semua bergantung kepada keterangan Sivaraj dan Amirul yang akan melengkapkan senarai tujuh pemain Kuala Lumpur yang disoal siasat, selepas Syazwan Rani, J. Mugilan Kartik dan Azwan Jatin tampil di hadapan jawatankuasa itu pada 3 Januari lalu, manakala penjaga gol, Azizon Abdul Kadir serta Benedict Martin pada 27 Disember lalu.

“InsyaAllah..kita akan cuba dapatkan keputusan esok (hari ini), itu pun kalau tiada sebarang nama baharu dipanggil oleh pihak kami untuk membantu siasatan tetapi saya tidak boleh beri kepastian.

“Segalanya terpulang bagaimana siasatan pada hari terakhir (hari ini), jika kami fikir kena panggil pemain atau pegawai lain maka kami terpaksa lakukan," katanya.

Lima pemain Kuala Lumpur yang sebelum ini didapati bersalah terbabit dengan gejala rasuah dan mengatur perlawanan adalah Fadhullah Yunsifar, Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie, Jeremy Danker dan Hafizi Rosle. Mereka didenda sebanyak RM20,000 dan digantung seumur hidup.

Ketua jurulatih dari Slovakia, Stanislav Lieskovsky, penolong pengurus Rosli Omar dan pegawai pasukan, Saari Jani antara tiga pegawai yang disabitkan kesalahan dan turut menerima hukuman serupa pada 20 Disember lalu.

Segala keputusan membabitkan tujuh baki pemain Kuala Lumpur turut menarik perhatian kerana empat daripada mereka bakal beraksi dengan majikan baharu dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Jika didapati bersalah, status kesemua pemain itu dengan majikan masing-masing pasti terpaksa ditamatkan dan adakah Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM bersedia membuka ruang kepada pasukan-pasukan terbabit mendaftarkan pemain baharu?

Menjelaskan mengenai perkara itu, Taufek berkata, ia bukan di bawah bidang kuasanya.

“Mengenai kedudukan tiga pemain yang telah mengikat kontrak dengan Kuala Lumpur bagi musim ini, saya tidak boleh kata apa-apa kerana itu hak majikan mereka jika kesemuanya didapati bersalah.

“Namun, jika hukuman telah dijatuhkan ia tetap akan berjalan seperti biasa dan semuanya bergantung kepada Kuala Lumpur sama ada tetap mahu membayar gaji atau melepaskan mereka sebegitu sahaja," ujarnya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140107/su_01/Nama-baru-akan-dipanggil#ixzz2peuPipxU © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment