Oleh Mohd Rafi Mamat
Kuantan: Penyerang import
Pahang, Dickson Nwakaeme yakin keserasiannya bersama pemain tempatan walaupun
dalam tempoh tidak sampai sebulan mengikuti latihan akan membantunya merobek
gawang lawan dalam usaha membawa lebih banyak kejayaan kepada skuad Tok Gajah
musim ini.
“Saya yakin persefahaman lebih
baik dan berkesan dapat dihasilkan apabila lebih lama kami bersama dalam satu
pasukan seterusnya bersaing dalam kancah Liga Super yang akan bermula minggu
depan.
“Pengalaman luas barisan pemain
memberi kelebihan memahami corak permainan rakan sepasukan seperti diatur
jurulatih,” katanya yang musim pertama bersama skuad Tok Gajah selepas
meninggalkan Kelantan.
Nwakaeme berkata, di bahagian
serangan dia bergandingan dengan seorang lagi pemain import, Matias Ruben Conti
yang memiliki kebolehan menghasilkan gol dari semua sudut selain kemampuan
menghasilkan umpanan menarik.
Beliau berkata, kelincahan
pemain tempatan, Azamuddin Akil, R Gopinanthan dan R Surendren yang memiliki
larian pantas serta kawalan bola yang baik turut menjadi senjata utama pasukan
menjinakkan lawan musim ini.
“Walaupun gagal menyerlah pada
siri perlawanan persahabatan sebelum ini, ia tidak seharusnya dijadikan ukuran
sebenar prestasi Pahang musim ini yang ingin mengekalkan kejuaraan Piala
Malaysia selain Liga Super dan Piala FA.
“Beri peluang kepada kami
membuktikan kemampuan, beberapa kelemahan pasti dapat diperbaiki secara
berperingkat hasil tunjuk ajar jurulatih Ronald Smith yang berpengalaman luas
dalam bidang kejurulatihan,” katanya.
Menurutnya, perlawanan merebut
Piala Sumbangsih bertemu juara Liga Super musim lalu, Lions Xll dari Singapura,
Jumaat ini akan menjadi medan ujian pertama skuad Tok Gajah sebelum melangkah
ke gelanggang sebenar.
Nwakaeme berkata, saingan Liga
Super musim ini dianggap lebih mencabar terutama dengan persiapan rapi daripada
semua pasukan yang menyenaraikan barisan pemain terbaik mereka.
Justeru hanya pasukan yang
mantap saja mampu bersaing memburu kejuaraan.
Sementara itu, bagi Conti
kehadiran Nwakaeme dapat membantu Pahang mencatat kejayaan lebih gemilang musim
ini seperti yang diinginkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
“Selepas hampir sebulan
menjalani latihan bersama, saya sudah mula mendapat keserasian membentuk
jentera serangan yang baik dan berkesan dalam usaha menghasilkan jaringan
setiap kali perlawanan.
“Sokongan rakan sepasukan
diharap memudahkan lagi usaha kami merobek gawang lawang sepanjang musim ini,”
katanya.
SUMBER:Artikel ini disiarkan
pada : 2014/01/15
No comments:
Post a Comment