NORSHAHZURA MAT ZUKI
11 Januari 2014
Asfaazam Kasbani Asfaazam
Kasbani
PENGGUNA yang menguruskan
sendiri penggunaan elektrik di rumah dan di pejabat perlu bijak menangani
kenaikan tarif elektrik yang baru berkuat kuasa, 1 Januari tahun ini.
Penolong Perwakilan Residen
Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Asfaazam Kasbani
berkata, rakyat perlu menerima hakikat bahawa subsidi kerajaan terhadap harga
elektrik tidak boleh kekal selamanya.
Menurutnya, kenaikan tarif
elektrik di Malaysia dipengaruhi keadaan global meliputi perubahan ekonomi
dunia, populasi penduduk yang bertambah dan sumber alam yang terhad.
“Pengguna perlu melihat
kenaikan tarif elektrik dari sudut positif dengan mengambil peluang
mempraktikkan dua konsep iaitu penjimatan dan kecekapan tenaga elektrik bagi
mengurangkan penggunaan elektrik.
“Penjimatan tenaga boleh
dilakukan dengan mematikan peralatan elektrik apabila tidak menggunakannya.
Kecekapan tenaga pula ialah menggunakan produk yang menggunakan tenaga elektrik
lebih rendah untuk melakukan sesuatu kerja," katanya dalam satu temu
ramah, baru-baru ini.
Menurut beliau, penggunaan
elektrik secara cekap dan jimat memberi faedah kepada pengguna kerana tidak
lagi berlaku pembaziran tenaga elektrik dan wang.
Malaysia antara paling tinggi
guna elektrik
Asfaazam berkata, dalam satu
kajian perbandingan dilakukan antara
Malaysia dan dua negara Asia Tenggara iaitu Thailand dan Filipina, Malaysia
menggunakan tenaga elektrik paling tinggi.
Sementara itu, Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia Foon Weng Lian turut bersetuju
dengan konsep penjimatan dan kecekapan tenaga elektrik yang dapat membantu dan
memberi manfaat kepada pengguna.
“Pengguna elektrik di Malaysia
perlu memahami kenaikan tarif elektrik baru-baru ini adalah bagi menampung
kenaikan kos penjanaan susulan peningkatan harga bahan api global.
“Penjanaan elektrik memerlukan
sehingga 60 peratus gas, dan kerajaan perlu mengikut harga antarabangsa untuk
mendapatkannya,” katanya.
Weng Lian berkata, pengguna di
Malaysia perlu mengambil inisiatif sendiri untuk mengelak daripada terpaksa
membayar bil yang membebankan kesan daripada kenaikan tarif itu dengan pelbagai
kaedah boleh diaplikasikan untuk melaksanakan konsep penjimatan dan kecekapan
tenaga elektrik.
“Pengguna boleh melakukan audit
sendiri dengan menyenaraikan peralatan elektrik dan bilangannya di rumah
mereka. Mereka juga boleh melakukan pengiraan sendiri bagaimana tenaga
digunakan atau dibazirkan.
“Pengguna juga perlu memastikan
suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dimatikan dan dicabut kerana jika
ia berada dalam keadaan sedia, tenaga elektrik tetap digunakan,” katanya.
Thailand model negara cekap
tenaga
Weng Lian berkata, pertubuhan
bukan kerajaan antarabangsa World Resources Institute (WRI) menjadikan Thailand
sebagai model kepada negara membangun kerana kecekapan penggunaan tenaga yang
baik sejak 1992.
"Thailand sejak lebih 20
tahun lalu menyasarkan mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 20 peratus
menjelang 2030.
"Melalui penyelidikan WRI,
polisi dan undang-undang mengenai penjimatan tenaga dilaksanakan di seluruh
Thailand berkesan dan perlu dicontohi oleh negara membangun lain,"
katanya.
No comments:
Post a Comment