Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my
Pesawat Cessna 172 yang cuba
mengelak burung helang, terhempas dalam hutan berhampiran Empangan Batu, Ulu
Yam, Selangor, semalam. (Kanan) Grafik lokasi Cessna terhempas.
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Tiga
juruterbang yang sedang menjalani latihan penerbangan cedera termasuk dua parah
selepas pesawat Cessna 172 yang dinaiki terhempas ketika cuba mengelak daripada
merempuh seekor helang berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam semalam.
Dalam kejadian pukul 5 petang
itu, Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 21, yang merupakan pemandu pesawat
ringan itu cedera di bahagian muka sementara dua penumpangnya, Kapten Syed
Haidhar Syed Zulkifli, 24, dan Shaiful Zafiq Razali, 23, cedera parah dari pinggang
ke bawah.
Pesawat Kelab Penerbangan
Diraja Selangor itu juga dikatakan merempuh serumpun pohon buluh di tempat
kejadian sebelum terhempas dan patah dua serta hampir terjunam ke dalam tebing
anak sungai setinggi kira-kira 50 meter.
Ketiga-tiga mangsa yang cedera
kemudiannya keluar daripada pesawat dan berjaya diselamatkan hampir 10 jam
kemudian oleh pasukan keselamatan yang melakukan operasi mencari dan
menyelamat.
Ketua Pasukan Bomba dan
Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, pihaknya menjalankan operasi
menyelamat kira-kira pukul 9.30 malam ekoran laporan kehilangan sebuah pesawat
ringan selepas lebih setengah jam berlepas dari pangkalan udara Tentera Udara
Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi.
Beliau berkata, pasukan mencari
dan menyelamat turut menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu
berhubung kejadian yang sama.
Pada pukul 10.11 malam kita
berjaya mengesan lokasi pesawat dan dua pegawai ditemani dua orang penduduk
kampung dihantar untuk memeriksa kawasan itu. Kumpulan ini berjaya menemui
kesemua mangsa pada pukul 3.45 pagi," katanya ketika ditemui pemberita di
Empangan Batu selepas operasi menyelamat selesai.
Othman memberitahu, pesawat itu
didakwa hilang kawalan apabila cuba mengelak daripada merempuh seekor burung
helang.
Itu yang diberitahu mangsa
ketika ditanya sejurus mereka ditemui. Kata mereka, apabila cuba mengelak
helang, pesawat itu kemudiannya melanggar serumpun pohon buluh lalu jatuh
terhempas ke tanah.
Mereka berjaya keluar daripada
pesawat itu dan berjalan sejauh 100 meter sehinggalah berjaya diselamatkan.
Berdasarkan apa yang dilihat, keadaan pesawat itu begitu kritikal, mujur
kesemua mereka terselamat dan masih sedar ketika ditemui," jelasnya.
Dalam usaha menyelamat itu,
seramai 35 anggota dan pegawai yang diketuai Penolong Pengarah Operasi dan
Penyelamat Bomba Selangor, Mohd. Sani Haru ditubuhkan untuk mencari mangsa.
Sementara itu, Nor Azilee Abdul
Kadir, yang menjadi pegawai bomba terawal menemui mangsa nahas memberitahu,
tiga juruterbang tersebut berada dalam keadaan separuh sedar ketika ditemui
pada pukul 3.45 pagi.
Mujur mereka masih sedar
ketika kami menjerit mencari mangsa, jika tidak pasti lama lagi kami menemui
mereka kerana suasana yang gelap gelita," katanya yang ketika itu bersama
seorang lagi pegawai bomba, Rodzlan Othman dalam operasi terbabit.
Seorang penduduk kampung,
Darmawan Kamarulzaman, 33, pula berkata, dia terdengar bunyi satu dentuman kuat
kira-kira dua kilometer dari arah kawasan kebunnya di Kampung Sungai Tua.
Saya terus mengarahkan seorang
lagi rakan membuat panggilan kecemasan dan sepasukan bomba turut meminta saya
menyertai operasi mencari lokasi pesawat itu terhempas.
Beberapa jam dalam tempoh
memeriksa kawasan itu, jeritan kami disahut mangsa dan selepas mencari arah
suara tersebut, kami menemui kesemua mereka dalam keadaan berlumuran darah
kerana mengalami luka-luka," katanya.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140112/dn_01/Cessna-terhempas-elak-helang#ixzz2q8Tg32ky
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment