Ad

Friday, 10 January 2014

Chong Wei hampiri final

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei muncul selaku satu-satunya wakil negara yang mara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea 2014 selepas menewaskan Du Pengyu dari China 21-9, 21-12 di Seoul, Korea Selatan semalam.

Satu lagi wakil negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah bagaimanapun terkandas pada aksi suku akhir apabila tumpas kepada pilihan utama kejohanan, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark 10-21, 9-21.

Chong Wei ternyata masih berada dalam kelas tersendiri sepanjang kejohanan itu apabila tampil dengan penuh aksi konsisten untuk mencatatkan satu lagi kemenangan straight set.

Lebih menarik, kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 31 tahun itu masih sukar digugat selepas kejayaannya memenangi Terbuka Hong Kong 2013 (November) dan Siri Super Masters Akhir di Kuala Lumpur pada Disember lalu.

Ketika menentang pemain No. 7 dunia itu semalam, Chong Wei mudah menguasai set pertama, namun turut diuji pada awal set kedua sebelum meninggalkan Pengyu dengan kelebihan sembilan mata sekali gus mengesahkan kemenangan dalam tempoh 35 minit.

Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek turut mengakui, juara bertahan itu tidak menghadapi kesukaran pada aksi suku akhir semalam.

“Perlawanan agak mudah. Hari ini (semalam), lawannya tidak boleh bermain rali dengan Chong Wei dan dia juga sukar untuk mematikan pukulan itu.

“Chong Wei bermain dengan lebih pantas. Anda tengok kepada keputusan itu pun sudah tahu, jadi buat masa ini ia agak mudah bagi dia, dan (Chong Wei) nampak masih cergas,” kata Rashid ketika mengulas mengenai perlawanan tersebut.

Juara edisi 2010, 2012 dan 2013 itu akan bertemu pemain Jepun, Kenichi Tago iaitu pemain yang pernah menewaskannya pada separuh akhir Terbuka Perancis 2013, Oktober lalu.

Tago mara selepas menewaskan pemain Denmark, Jan O Jorgensen 21-11, 21-14.

Rashid tetap menasihatkan Chong Wei waspada dengan ancaman Tago.

SUMBER : KOSMO ONLINE 11.1.14

No comments:

Post a Comment