Ad

Monday, 6 January 2014

'Saiz S ' bukan alasan

 Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
 
KUALA LUMPUR - Bekas ketua pasukan Trinidad & Tobago dan pemain Manchester United, Dwight Yorke menggesa pemain muda Malaysia supaya tidak sesekali menjadikan saiz fizikal mereka yang lebih kecil sebagai batu penghalang untuk mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.

Katanya, tanggapan sebegitu hanya akan menambah kekuatan lawan sehingga menggerunkan diri sedangkan bola sepak era moden sudah banyak berubah kepada permainan pantas, semangat dan keyakinan sepasukan.

“Besar atau kecilnya fizikal anda tiada kena-mengena dengan kejayaan dalam bola sepak. Jika anda bersaiz kecil, jangan biarkan lawan yang lebih besar, menggerunkan anda. Itu hanya akan menambah kekuatan mereka.

“Lihat (Lionel) Messi dan (Diego) Maradona (dua pemain generasi berbeza Argentina yang berjaya). Bola sepak sekarang sudah berubah dan ada faktor lain untuk berjaya seperti keyakinan dan semangat sepasukan serta banyakkan persediaan.

“Anda boleh hormati lawan tetapi jangan biarkan mereka mendapat ‘kredit’ kerana rasa takut anda itu (akibat saiz kecil)," katanya yang juga Duta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada sidang akhbar pada Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.

Yorke turut merujuk kepada kehadiran lebih ramai pemain Asia dalam Liga Perdana England (EPL) sekarang sekali gus membuktikan pintu buat pemain bersaiz kecil untuk ke pentas bola sepak tertinggi di Eropah tetap terbuka luas dan wajar menjadi sumber inspirasi kepada yang lain.

Mengenai kedudukan ketujuh Manchester United dalam EPL yang jauh ditinggalkan musuh ketat Arsenal, Manchester City dan Liverpool katanya, anak buah David Moyes itu kini terjebak dalam situasi yang sukar dan tertekan, malah berkemungkinan besar tidak mampu mempertahankan gelarannya, musim ini.

“MU kini memasuki era baharu di bawah pengurus baharu selepas di bawah Alex Ferguson lebih 20 tahun yang banyak membina pasukan. Pasukan sekarang seperti ‘mara selangkah tetapi kemudian mengundur dua langkah’. Namun saya harap musim berikutnya, mereka akan bertambah baik," ujarnya.

Yorke yang sempat bermain dalam pusingan akhir Piala Dunia 2006 di Jerman berkata: “Walau sebanyak mana pun piala yang dimenangi dengan MU, perasaan mewakili negara dan mendengar lagu kebangsaan dimainkan ketika itu, amat sukar dijelaskan. Itulah kemuncak karier bola sepak saya."

Trinidad & Tobago muncul negara terkecil mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2006 sambil menduduki tangga tercorot Kumpulan B selepas mengikat Sweden tanpa jaringan biarpun bermain dengan 10 orang dan kalah kepada England dan Paraguay 2-0.

Ditanya siapa pemain terbaik dunia sekarang yang menjadi pilihannya, kata bekas pengurus pasukan Trinidad & Tobago ini: “Messi dan Cristiano Ronaldo (bekas pemain MU dan kini Real Madrid dan Portugal) sentiasa menjadi keutamaan saya. Yang ketiga ialah Neymar (Brazil)."

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140106/su_01/Saiz-S-bukan-alasan#ixzz2pd96Fwow © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment