NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
22 Januari 2014
Bunyamin Omar
KAPTEN Selangor, Bunyamin Omar
mengingatkan rakan sepasukannya bahawa bertemu dengan pasukan Harimau Muda C
dalam perlawanan pertama Piala FA hari ini bukanlah satu tugas yang mudah buat
mereka.
Jelasnya, status junior
bukanlah alasan untuk mereka memandang ringan terhadap kemampuan skuad
bimbingan Aminuddin Hussin itu memandangkan mereka juga memasang impian untuk
melangkah lebih jauh dalam saingan kali ini.
Malah kejayaan menjuarai Piala
Mintal di Slovakia Ogos lalu turut membuktikan pasukan Harimau Muda C mampu
mempamerkan aksi menakjubkan.
"Selalunya semangat pemain
muda tidak sama seperti pemain senior. Mereka mempunyai semangat lain dari biasanya.
"Samalah seperti kami dulu
di mana apabila turun bertemu lawan yang senior, pasti kami mempunyai semangat
yang membuak-buak untuk menang, kami ingin membuktikan skuad junior lebih hebat
dari senior.
"Jadi, itu yang saya rasa
pertemuan menentang Harimau Muda C, mereka pastinya memiliki semangat itu. Oleh
itu, semua pemain harus berhati-hati dan dan jangan melakukan banyak kesilapan
mudah," katanya kepada Sinar Harian.
Pada masa sama, pemain berusia
26 tahun itu juga memberitahu bahawa beliau tidak rela dimalukan pasukan junior
sekali gus menyekat hasrat mereka untuk memburu Piala FA musim ini.
"Perkara utama yang perlu
dielakkan ialah dimalukan dengan pasukan budak. Jangan biarkan ia berlaku. Kita
harus memastikan saingan Selangor dalam Piala FA akan diteruskan.
"Tapi saya yakin, melihat
aksi yang dipamerkan pemain ketika aksi Liga Super tempoh hari kita mampu pergi
jauh," jelasnya.
SINAR HARIAN ONLINE 23.1.14
No comments:
Post a Comment