LONDON - Pengurus Arsenal,
Arsene Wenger mendedahkan bahawa beliau perlu memikirkan semula calon pemain
baharu yang akan dibeli sebelum pintu perpindahan pemain ditutup akhir bulan
ini.
Wenger terpaksa membuat
keputusan drastik itu selepas kecederaan yang dialami Theo Walcott.
Walcott diketepikan selama enam
bulan selepas mengalami kecederaan lutut kiri yang serius ketika membantu
Arsenal menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 pada aksi pusingan ketiga Piala FA,
Sabtu lalu.
Situasi itu memaksa Wenger
membeli penyerang baharu dalam usaha mempertahankan kedudukan mereka di tangga
teratas Liga Perdana England.
"Kami merasai kehilangan
Walcott tetapi belum tentu kami akan membeli pemain baharu bagi mengisi
kekosongan itu.
"Anda perlu ingat bahawa
Serge Gnabry dan (Alex) Oxlade-Chamberlain juga berupaya untuk beraksi dengan
baik di posisi serangan.
"Selain itu, saya juga
berharap (Nicklas) Bendtner akan pulih daripada kecederaan dalam tempoh tiga
minggu lagi," kata Wenger.
Sementara itu, Wenger mengakui,
beliau yakin Walcott mempunyai mental yang cukup kuat berdepan dugaan seperti
itu terutamanya selepas menutup peluangnya beraksi dengan skuad kebangsaan
England pada pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil.
"Walcott memiliki semangat
juang yang tinggi dan saya percaya dia akan beraksi dengan kadar segera,"
jelas Wenger. - AFP
SUMBER : KOSMO ONLINE 11.1.14
No comments:
Post a Comment